Kebelakangan ini, banyak mesej diterima bertanyakan soalan tentang cara untuk menceburi bidang penterjemahan.
Dalam nukilan minggu lepas, saya kongsikan 3 usaha yang boleh dilakukan untuk masuk ke dunia penterjemahan.
Sekiranya kita benar-benar serius mahu masuk ke dunia penterjemahan, apakah yang sudah dilakukan dalam tempoh seminggu ini?
Adakah kita sudah bertindak mengatur langkah pertama untuk menjadi penterjemah?
Sekurang-kurangnya, mesti sudah bertindak melakukan tiga perkara yang dikongsikan itu.
Bagaimana saya mahu menceburkan diri dalam dunia penterjemahan, padahal saya ada kerja tetap?
1. Secara Sepenuh Masa
Sama sahaja seperti proses pencarian kerja dalam bidang yang lain, cari iklan kerja kosong sebagai “Penterjemah Sepenuh Masa” dan hantar permohonan. Ada banyak syarikat dan institut pendidikan yang memerlukan khidmat penterjemah sepenuh masa. Buat carian di laman mencari pekerjaan sama ada dalam versi bercetak atau digital. Pada zaman moden, sekarang semuanya mudah di hujung jari sahaja. Apabila permohonan diterima, langkah seterusnya adalah proses temuduga. Sekiranya berjaya, kita akan diterima bekerja sebagai penterjemah di syarikat itu. Jadi, berhenti sahajalah kerja lain yang sedang dilakukan. Bermula langkah pertama kita sebagai penterjemah sepenuh masa!
2. Secara Sambilan / Secara Bebas
Kita juga boleh mulakan langkah sebagai penterjemah secara sambilan atau secara bebas. Ini bermakna, kita ada kerja tetap sepenuh masa, ada waktu pejabat yang tetap, contohnya jam 9 pagi sehingga 4 petang.
Walaupun sudah ada kerja tetap, kita benar-benar berminat untuk menjadi penterjemah. Cuma kita belum yakin arah yang mahu dituju. Sesuai ke kita menjadi penterjemah? Walaupun ada kerja tetap, adakah kita masih boleh menjadi penterjemah?
Ya, walaupun sudah ada kerja tetap 9 pagi sehingga 4 petang, kita boleh menceburi bidang penterjemahan secara sambilan atau secara bebas. Kita boleh melakukan tugasan di sebelah malam.
Apakah yang boleh dilakukan? Mana mahu cari semua peluang itu?
Pergi sertai komuniti penterjemah. Hadiri bengkel dan kursus penterjemahan untuk berkenalan dengan geng penterjemah lain dan mempelajari tip dan teknik menterjemah yang betul. Walaupun kita fasih berbahasa, tidak semestinya kita akan menjadi penterjemah yang baik dalam bahasa itu.
Kalian juga boleh hadir ke bengkel kendalian saya, insya-Allah akan diadakan pada November ini. Nantikan pengumumannya di laman fb penterjemahsuper.
3. Secara Sukarela / Suka-suka
Kadang-kadang kita berasa bosan kerana terlalu banyak masa lapang. Kita boleh lakukan penterjemahan secara sukarela atau suka-suka, tanpa sebarang bayaran. Pasti kita pernah melihat notis sebegini apabila kita log masuk ke laman sosial atau ke laman web tertentu. “Mahu membantu menterjemah laman ini kepada bahasa anda? Hubungi kami!”
Kebiasaannya notis sebegitu akan disiarkan di laman web yang baru dan tidak bersifat keuntungan. Pada awal kemunculan FB, mereka turut menyiarkan notis seperti itu. Sama juga dengan laman yang menyiarkan siri video TED. Mereka memerlukan bantuan orang ramai untuk menterjemah laman web mereka kepada bahasa tempatan. Mana tahu, apabila kita sudah banyak menterjemah untuk mereka secara sukarela, apabila sudah ada cukup dana, mungkin kita akan diberikan imbuhan untuk semua tugasan itu. Angan-angan itukan percuma!
Cara lain yang kita boleh lakukan adalah memilih satu topik yang diminati, cari informasi mengenai topik itu di laman web dan terjemahkan artikel itu. Kemudian, siarkan artikel yang sudah diterjemahkan itu ke laman blog kita. Sedikit-sedikit, lama-lama penuh laman blog kita dengan pelbagai artikel yang kita terjemahan. Sudah seperti resume khusus penterjemahan dalam talian!
Usaha Mesti Ada!
Tidak kira apapun pilihan kita, usaha itu mesti ada. Cakap cakap sahaja tidak ada gunanya. Masa tidak menunggu kita. Sekarang kita sudah tahu caranya.
Ayuh, kita mulakan langkah pertama hari ini!
(Artikel asal di: http://sekolahpenulisan.com/3-cara-untuk-masuk-ke-dalam-bidang-penterjemahan/)
(Artikel asal di: http://sekolahpenulisan.com/3-cara-untuk-masuk-ke-dalam-bidang-penterjemahan/)
No comments:
Post a Comment