Sunday, November 6, 2016

Bengkel Penterjemah Super 26 November 2016

"Jika mahu menceburi bidang terjemahan dengan mata dan hati terbuka, bengkel ini sesuai sebagai permulaan. Tiada janji manis hasil berjuta yang mengelabui mata, tiada madah berhelah gambaran kerjaya yang mudah dan indah. Bengkel ini akan membantu anda memahami realiti dunia penterjemahan dan cara sebenar untuk berjaya dalam bidang ini. Usaha gigih dan semangat waja yang akan membawa hasil lumayan. Pelaburan yang berbaloi!"
- Siti Sab, Alumni Bengkel 2014.

----

19 HARI SAHAJA LAGI!

Bengkel Penterjemah Super

Langkah Pertama Menjadi Penterjemah, Bermula Di Sini.
Eksklusif sekali setahun sahaja!
Daftar Sekarang di : http://bit.ly/penterjemahsuper



Monday, October 31, 2016

3 Cara Untuk Masuk Ke Dalam Bidang Penterjemahan

Kebelakangan ini, banyak mesej diterima bertanyakan soalan tentang cara untuk menceburi bidang penterjemahan.
Dalam nukilan minggu lepas, saya kongsikan 3 usaha yang boleh dilakukan untuk masuk ke dunia penterjemahan.
Sekiranya kita benar-benar serius mahu masuk ke dunia penterjemahan, apakah yang sudah dilakukan dalam tempoh seminggu ini?
Adakah kita sudah bertindak mengatur langkah pertama untuk menjadi penterjemah?
Sekurang-kurangnya, mesti sudah bertindak melakukan tiga perkara yang dikongsikan itu.
Bagaimana saya mahu menceburkan diri dalam dunia penterjemahan, padahal saya ada kerja tetap?

1. Secara Sepenuh Masa

Sama sahaja seperti proses pencarian kerja dalam bidang yang lain, cari iklan kerja kosong sebagai “Penterjemah Sepenuh Masa” dan hantar permohonan. Ada banyak syarikat dan institut pendidikan yang memerlukan khidmat penterjemah sepenuh masa. Buat carian di laman mencari pekerjaan sama ada dalam versi bercetak atau digital. Pada zaman moden, sekarang semuanya mudah di hujung jari sahaja. Apabila permohonan diterima, langkah seterusnya adalah proses temuduga. Sekiranya berjaya, kita akan diterima bekerja sebagai penterjemah di syarikat itu. Jadi, berhenti sahajalah kerja lain yang sedang dilakukan. Bermula langkah pertama kita sebagai penterjemah sepenuh masa!

2. Secara Sambilan / Secara Bebas

Kita juga boleh mulakan langkah sebagai penterjemah secara sambilan atau secara bebas. Ini bermakna, kita ada kerja tetap sepenuh masa, ada waktu pejabat yang tetap, contohnya jam 9 pagi sehingga 4 petang.
Walaupun sudah ada kerja tetap, kita benar-benar berminat untuk menjadi penterjemah. Cuma kita belum yakin arah yang mahu dituju. Sesuai ke kita menjadi penterjemah? Walaupun ada kerja tetap, adakah kita masih boleh menjadi penterjemah?
Ya, walaupun sudah ada kerja tetap 9 pagi sehingga 4 petang, kita boleh menceburi bidang penterjemahan secara sambilan atau secara bebas. Kita boleh melakukan tugasan di sebelah malam.
Apakah yang boleh dilakukan? Mana mahu cari semua peluang itu?
Pergi sertai komuniti penterjemah. Hadiri bengkel dan kursus penterjemahan untuk berkenalan dengan geng penterjemah lain dan mempelajari tip dan teknik menterjemah yang betul. Walaupun kita fasih berbahasa, tidak semestinya kita akan menjadi penterjemah yang baik dalam bahasa itu.
Kalian juga boleh hadir ke bengkel kendalian saya, insya-Allah akan diadakan pada November ini. Nantikan pengumumannya di laman fb penterjemahsuper.

3. Secara Sukarela / Suka-suka

Kadang-kadang kita berasa bosan kerana terlalu banyak masa lapang. Kita boleh lakukan penterjemahan  secara sukarela atau suka-suka, tanpa sebarang bayaran. Pasti kita pernah melihat notis sebegini apabila kita log masuk ke laman sosial atau ke laman web tertentu. “Mahu membantu menterjemah laman ini kepada bahasa anda? Hubungi kami!”
Kebiasaannya notis sebegitu akan disiarkan di laman web yang baru dan tidak bersifat keuntungan. Pada awal kemunculan FB, mereka turut menyiarkan notis seperti itu. Sama juga dengan laman yang menyiarkan siri video TED. Mereka memerlukan bantuan orang ramai untuk menterjemah laman web mereka kepada bahasa tempatan. Mana tahu, apabila kita sudah banyak menterjemah untuk mereka secara sukarela, apabila sudah ada cukup dana, mungkin kita akan diberikan imbuhan untuk semua tugasan itu. Angan-angan itukan percuma!
Cara lain yang kita boleh lakukan adalah memilih satu topik yang diminati, cari informasi mengenai topik itu di laman web dan terjemahkan artikel itu. Kemudian, siarkan artikel yang sudah diterjemahkan itu ke laman blog kita. Sedikit-sedikit, lama-lama penuh laman blog kita dengan pelbagai artikel yang kita terjemahan. Sudah seperti resume khusus penterjemahan dalam talian!

Usaha Mesti Ada!

Tidak kira apapun pilihan kita, usaha itu mesti ada. Cakap cakap sahaja tidak ada gunanya. Masa tidak menunggu kita. Sekarang kita sudah tahu caranya.
Ayuh, kita mulakan langkah pertama hari ini!

(Artikel asal di: http://sekolahpenulisan.com/3-cara-untuk-masuk-ke-dalam-bidang-penterjemahan/)

Sunday, October 30, 2016

Thursday, October 13, 2016

TOLONG! SAYA SESAT. TIDAK TAHU JALAN UNTUK MENJADI PENTERJEMAH

Ada banyak jalan kehidupan yang kita boleh pilih. Setiap jalan yang dipilih akan menuju ke destinasi berbeza. Mungkin beberapa jalan akan bertembung dan saling berselisih. Ada masanya kita akan tersesat di jalan gelap, tidak jumpa kebenaran.
Pilihan jalan untuk menjadi penterjemah juga pelbagai. Ada yang masuk jalan ini secara tidak sengaja. Ada yang sudah menyimpan angan-angan untuk menjadi penterjemah, namun masih belum mengorak langkah pertama.
Ada yang sudah masuk, tapi berhadapan pelbagai halangan, cabaran dan tekanan. Itu biasa. Walaupun kita benar-benar minat dan suka kerja yang dilakukan, pasti ada stres dalam segala-galanya.
Jadi, jalan mana yang sesuai diambil untuk menjadi penterjemah?
Sebenarnya, tidak ada satu jalan sahaja untuk bermula sebagai penterjemah.
Lain orang lain kisahnya. Saya sendiri masuk ke dalam dunia penterjemahan secara tidak sengaja. Tidak pernah terfikir langsung pada ketika itu.

CARI GENG SAMA WANGI

Ini bukan isu kita mandi ke tidak mandi ya. Ini isu mencari geng yang sama wangi. Kata-kata Puan Ainon Mohd ini saya memang ingat sampai bila-bila. Lebih kurang begini bunyinya, “Sekiranya kita mahu jadi wangi, berkawanlah dengan penjual minyak wangi. Pasti tempias wangian akan terkena pada kita.”
Ini pula saya tokok tambah, “Lama-lama kita akan jadi sama wangi atau mungkin lebih wangi daripada penjual minyak wangi itu!”
Maksudnya senang sahaja. Sekiranya kita mahu menjadi penterjemah, carilah geng penterjemah yang lain.
“Mahu cari di mana? Saya tidak kenal penterjemah lain.”
Alahai. Sekarang dunia di hujung jari. Masuk FB pun wajib setiap hari kan? Itu semua lubuk maklumat. Buat carian sama ada di Goggle atau di FB, kata kunci ‘penterjemah’. Pasti banyak hasil carian yang muncul. Kemudian, tambah penterjemah itu sebagai rakan dunia maya. Berkenalan dengannya. Borak-borak dengannya. Minta izin dia berkongsi pengalaman.
Namun, sekiranya tidak ada respons daripada individu itu, usah gusar. Tidak ramai akan terbuka hati untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup mereka dengan si asing yang tiba-tiba menegur di laman sosial.
Carilah penterjemah yang mahu berkongsi. Habis membaca nukilan ini, kalian sudah kenal sekurangnya seorang penterjemah yang mahu berkongsi!

BETULKAN BAHASA KITA DAHULU!

Jangan ingat kita tahu dua bahasa atau lebih, kita sudah boleh menjadi penterjemah untuk kesemua bahasa itu. Semuanya palsu belaka.
Walaupun kita fasih berbual-bual dalam bahasa itu, kita perlu ada bakat bahasa yang bagus.  Sekiranya menulis sms dan status di laman sosial pun, asyik guna bahasa pendek yang entah apa-apa dan ayat pun merapik meraban, mungkin kerjaya sebagai penterjemah ini bukan untuk kita.
Penterjemah sama seperti penulis yang perlu mencatatkan setiap idea bernas dan jalan cerita hebat dalam bahasa yang sedap dan mudah difahami semua. Bezanya, penulis menzahirkan idea mereka sendiri ke atas kertas atau skrin dan penterjemah menzahirkan idea penulis bahasa asal.
“Tetapi saya benar-benar mahu menjadi penterjemah!”
Sekiranya status fb kita pun merapu-rapu dalam bahasa pasar yang perlu dibaca 10 kali, baru boleh difahami, (kadang-kadang tak faham langsung, walaupun sudah baca banyak kali!), lupakan niat itu.
Usaha perbaiki bahasa kita dahulu. Berlatih menulis dengan bahasa yang betul di laman sosial. Ejaan mesti betul. Ayat mesti penuh. Struktur ayat mesti ada. Penyataan yang ditulis mesti sedap dibaca dan mudah difahami semua.

BERSEDIA MELABUR

Kita perlu bersedia melabur untuk mempertingkatkan kemahiran kendiri. Melabur bukan setakat duit. Ia termasuk masa dan juga usaha.
i. Pelaburan duit.
Daftarkan diri untuk menghadiri kursus dan bengkel penterjemahan. Sekiranya sekadar mengharapkan pada bakat bahasa juga tidak boleh. Mantapkan lagi bakat itu dengan teknik penterjemahan yang betul. Ada dua institusi yang menawarkan kursus penterjemahan iaitu ITBM dan DBP dengan kerjasama PPM. Pergi Google untuk cari maklumat lanjut.
Ada juga bengkel penterjemahan yang boleh dihadiri. Saya sendiri ada menganjurkan bengkel asas penterjemahan eksklusif sekali setahun. Sebarang maklumat akan dikongsikan di laman FB Penterjemahsuper.
Guna duit untuk membeli bahan rujukan yang sesuai untuk membantu mengasah kemahiran menterjemah. Kamus? Tidak perlu. Sekarang, kamus maya lebih mudah diakses. Tidak perlu pikul kamus yang gedabak ke hulu hilir sebagai rujukan. Beli buku tip dan teknik penterjemahan. Beli buku terjemahan yang pernah memenangi anugerah seperti buku Cina Bisnes di Lautan Pasifik, terbitan PTS. Beli bahan bacaan dengan bahasa yang sedap dibaca untuk menambah kosa kata kita.
ii. Pelaburan Masa
“Saya tidak ada masa lapang untuk belajar tentang penterjemahan.”
Hai, belum bermula pun sudah ada alasan, lupakan sahaja niat untuk menjadi penterjemah.
Masa itu emas. Itu sebab kita perlu gunakan sebaik mungkin dengan perkara bermanfaat. Hadir kursus penterjemahan. Labur masa berharga untuk belajar teknik penterjemahan yang betul. Pergi bengkel, masa terisi dengan ilmu.
Luangkan masa untuk membaca semua buku yang dibeli. Mungkin tidak sempat membaca kesemuanya sekali. Faham sangat. Jadi, pilih buku yang dapat memberikan input bahasa yang bagus dan ilmu penterjemahan yang betul.
iii. Pelaburan Usaha
Tidak kira apa sahaja yang kita lakukan, semua perlukan usaha. Berusaha berlatih menterjemah supaya kemahiran ini dapat digilap. Sekiranya dapat dilakukan setiap hari, lebih baik. Itulah sebabnya, saya buat juga tugasan yang kecil molek comel lote, walaupun sependek satu baris. Ya, satu baris!
Kita boleh buat penterjemahan mudah seperti menyiarkan post FB yang dwibahasa. Itu sudah dikira sebagai latihan penterjemahan. Usaha mesti ada.
Usaha dengan langkah kecil dahulu. Lama-lama kemahiran dan bakat kita akan semakin bersinar. Insya-Allah.
Ha! Sekarang sudah tahu kesemua cara itu, bola tindakan ada dalam tangan kita.
Apa tunggu lagi? Mudahan tidak akan sesat jalan lagi.

(Artikel turut disiarkan di sekolahpenulisan.com)

Thursday, October 6, 2016

KENAPA MAHU JADI PENTERJEMAH

Kerjaya sebagai penterjemah semakin disedari kewujudannya. Setiap penterjemah pasti ada sebab tersendiri mengorak langkah menceburi bidang ini.
 
1.       Ada bakat
Penterjemah perlu ada bakat. Bukan bakat menyanyi atau menari. Biasanya, penterjemah adalah individu yang tidak suka berada di atas pentas, kerana lebih suka bekerja di belakang tabir. Bakat yang dimaksudkan adalah bakat bahasa atau language flair. Penterjemah perlu memahami teks bahasa sumber (dalam kes ini, Bahasa Inggeris) dan memindahkan makna teks itu ke dalam struktur ayat Bahasa Melayu yang sejadi, sedap dibaca dan mudah difahami oleh pembaca.

2.       Ada minat
Penterjemah perlu ada minat pada segala-galanya bahasa. Perlu ada minat membaca kerana akan membaca pelbagai jenis teks dalam Bahasa Inggeris. Perlu ada minat menulis kerana akan menterjemah dan menulis kembali teks sumber itu ke dalam Bahasa Melayu. Perlu ada minat untuk menambah baik kosa kata bahasa supaya setiap makna yang mahu disampaikan dapat dilakukan dengan bahasa yang betul dan mudah difahami.  

3.       Boleh buat lebih baik
Ada juga yang mahu menjadi penterjemah kerana mereka rasa boleh menterjemah dengan lebih baik berbanding karya terjemahan sedia ada di pasaran. Ini kerana karya terjemahan itu tidak sedap dibaca! Bahkan, gaya bahasa yang kaku mematahkan semangat untuk membaca sehingga habis.
Apabila karya terjemahan tidak diterjemahkan dengan betul, para pembaca lebih suka membaca buku itu dalam bahasa asalnya. Ini adalah cabaran kepada penterjemah. Kita perlu menghasilkan karya terjemahan yang sejadi (natural), sedap dibaca dan mudah difahami oleh pembaca. Lebih penting, ia tidak boleh berbau inggeris lagi!

4.       Orang asyik minta tolong
Pernahkah orang lain asyik minta tolong kita menterjemahkan teks atau dokumen untuk mereka? Mula-mula, teksnya sedikit sedikit sahaja. Kita pun buat atas dasar sukarela membantu kawan atau kenalan di tempat kerja. Lama kelamaan semakin banyak. Eh, biar betul. Kenapa orang asyik minta bantuan kita untuk menterjemah dokumen? Mungkin sebab tidak ramai individu yang boleh menulis dalam Bahasa Melayu yang baik di organisasi itu. Sekiranya kita memberikan hasil terjemahan yang bagus, lebih ramai individu yang datang meminta bantuan kemahiran menterjemah kita. Bakat terpendam mula bersinar!

5.       Suka-suka, isi masa lapang.
Pernahkah anda mendengar cakap-cakap seperti ini? “Bosanlah. Apa yang kita boleh buat? Kita menterjemahlah!” Serius! Memang ada yang berbuat begitu. Antara contoh popular, ramai penulis blog yang menterjemah artikel dalam bahasa asing dan menyiarkan versi Bahasa Melayu di laman blog mereka. Ada juga yang menterjemah petikan dan kata-kata individu tersohor serta resipi makanan lazat secara suka-suka dan berkongsi di laman sosial mereka.

6.       Cari duit poket tambahan
Memang ada ruang untuk memperoleh pendapatan dalam dunia penterjemahan. Mencari duit poket tambahan dengan menawarkan perkhidmatan penterjemahan. Kita perlu tahu cara yang betul untuk memasarkan diri sebagai penterjemah. Paling penting, kita mesti memberikan hasil terjemahan yang baik supaya bayaran yang diterima itu berbaloi dengan setiap titis keringat yang mengalir membasahi bumi.

7.       Mahu kerja dari rumah
Kerjaya penterjemahan ini memang boleh dilakukan dari rumah. Perlu dua fasiliti sahaja, komputer dan akses internet. Apabila bekerja sendiri, disiplin diri perlu kuat. Kita yang akan merancang perjalanan hari, sama ada bergigih menyiapkan tugasan atau sambil lewa buat kerja suka hati. Kerja keras, insya-Allah hasilnya banyak. Sambil lewa, hasilnya pun macam main ‘chak chak’ sahaja. Sekejap ada, sekejap tiada. 

Selebihnya adalah bergantung pada 
i) usaha keras kita mencari kerja dan memasarkan diri, dan 
ii) bakat dan kemahiran kita menterjemah.


Insya-Allah, rezeki itu ada di mana-mana.

(Artikel turut disiarkan di sekolahpenulisan.com)

Friday, September 30, 2016

Anugerah Terjemahan Negara 2012


KHALIDAH ADIBAH AMIN atau lebih terkenal sebagai ADIBAH AMIN dipilih penerima pertama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012, sekali gus membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM10,000 berserta sijil penganugerahan yang disampaikan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia dalam satu majlis khas di Putrajaya, hari ini (Rabu, 3 Oktober 2012).

Pemilihan beliau diputuskan panel penilai khas yang dilantik Jawatankuasa Penganjur, selepas menilai hasil sumbangan Adibah membangunkan psikologi pemikiran bangsa menerusi medium terjemahan.Bermula dengan No Harvest But Thorn karya asal 'Ranjau Sepanjang Jalan' tulisan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad pada 1972, usahanya berterusan selama lebih empat dekad, selain turut berjasa menterjemah satu lagi karya besar negara, iaitu Jungle of Hope, karya asal 'Rimba Harapan' tulisan SN Keris Mas.
Pada masa sama, sumbangan Adibah tidak hanya dinilai berdasarkan terjemahan langsung yang dihasilkannya, tetapi juga menerusi suntingan terhadap sekian banyak hasil kerja terjemahan membabitkan teks sumber pelbagai buku bahasa lnggeris - satu lagi pecahan tugas penting di bawah skop kerja terjemahan.
 Selain itu, Adibah juga disifalkan sebagai penterjemah berkredibiliti, berikutan kemampuan beliau memahami istilah serta sub teks penulis, baik untuk karya kreatif mahupun teks langsung berdasarkan fakta, sama ada karya berat mahupun genre penulisan kanak-kanak. Begitu juga semangat serta kesungguhan Adibah.
Dalam keadaan dirinya yang kurang berkeupayaan akibat faktor kesihatan, beliau tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti daripada berkarya, sekali gus memperlihatkan jati diri pejuang sastera tulen negara.
Sehubungan itu, panel penilai sebulat suara memilih Adibah sebagai penerima pertama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara yang diwujudkan kali pertama menerusi Anugerah Terjemahan Negara ITBM-PPM(ATN ITBM-PPM) 2012 yang kali keempat dianjurkan selepas yang terakhir pada 1995.
Pada majlis sama, turut diumumkan ialah pemenang bagi Anugerah Penterjemah Terbaik serta Anugerah Penghargaan untuk tujuh kategori bidang dipertandingkan. Bagaimanapun, daripada semua tujuh kategori tersebut, hanya lima pemenang diumumkan bagi kedua-dua Anugerah (kategori Kreatif, Umum, Sains Sosial, Sains & Teknikal dan Bacaan Kanak-kanak), manakala untuk baki dua kategori, iaitu Agama serta Media & Rencana, tiada pemenang diputuskan oleh panel penilai.
Berikut adalah senarai pemenang serta karya yang dipertandingkan:
ANUGERAH PENTERJEMAH TERBAIK
a. Kategori Kreatif
Anugerah Penterjemah Terbaik : Zaleha Abidin
Judulbuku: Sandokan
Anugerah Penghargaan: Nor Farhana Zulkeplee, Nurul Hidayah Abdillah, Wan Norazah Wan Chik
Judul buku: Amina
b. Kategori Umum
Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
Judul buku : Dunia Pasca Amerika
Anugerah Penghargaan: Haim Hilman Abdullah
Judul buku : Persaingan Hiperkompetitif: Bersaing dalam Persekitaran Sangat Dinamik
c. Kategori Sains Sosial
Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
Judul buku: Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid
Anugerah Penghargaan : Fatimah Rodiah Mohd Yusof
Judul buku : Gina Penakluk Bisnes Lautan Pasifik
d. Kategori Sains & Teknikal
Anugerah Penterjemah Terbaik : Abdul Khalil Shawkataly & Rozman Hj. Din
Judul buku : Sains Gentian
Anugerah Penghargaan: Muhammad Razin Ong Abdullah
Judul buku : Pengenalan kepada Mekatronik dan Sistem Pengukuran
e. Kategori Bacaan Kanak-Kanak
Anugerah Penterjemah Terbaik: Shamsiah Md. Said
Judul buku: 1000 Fakta tentang Tumbuhan
Anugerah Penghargaan
  1. Norhayati Md. Mokhtar
Judul Buku: Mari Berseronok dengan Ensiklopedia Haiwan
  1. Che Norhasimah Abd. Hamid
Judul Buku: Mari Berseronok dengan Ensiklopedia Sains
 Setiap pemenang bagi Anugerah Penterjemah Terbaik membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan, manakala pemenang bagi Anugerah Penghargaan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil dan hadiah iringan.
Pemenang dipilih berdasarkan hasil terjemahan karya bahasa Melayu yang diterbitkan antara 2009 hingga 2012. Sejak diumukan tahun lalu (2011), sejumlah 61 karya dicalonkan dan 30 dipilih untuk penjurian peringkat akhir. Antara elemen yang dinilai ialah ketelitian pemilihan istilah bagi memastikan jalan cerita teks sumber selari dengan hasil terjemahan, keindahan lenggok bahasa dan kolokasi sesuai bagi membangkitkan kesan pembacaan serupa sebagaimana teks sumber.
Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penganjur, bermula tahun ini (2012), ATN ITPM-PPM akan diadakan setiap tiga tahun sebagai menyokong usaha kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), sekali gus menjadi dorongan kepada penterjemah untuk menghasilkan terjemahan lebih berkualiti.
(Artikel asal di sini: http://m.pts.com.my/berita/kenyataan-media-majlis-penyampaian-anugerah-terjemahan-negara-itbm-ppm-2012/)

Wednesday, September 28, 2016

SURAT KEPADA BAKAL PENTERJEMAH



Khas buat bakal penterjemah di luar sana,


Penterjemah sememangnya bukan kerjaya yang popular. Pasti ia bukan cita-cita kita sejak kecil dahulu. Jadi, kenapa mahu menjadi penterjemah?
Adakah kerana ada bakat menterjemah?
Adakah kerana kerjaya sebagai penterjemah sesuai untuk kita?
Adakah kerana bosan duduk di rumah tidak berbuat apa-apa?
Adakah kerana mahu menjana pendapatan sampingan?
Adakah kerana sudah penat mengharungi kesesakan untuk ke pejabat setiap hari?
Tidak kira apapun sebab musabab di sebalik keputusan itu, izinkan saya mengucapkan tahniah!
Eh, kenapa?
Kerana berjaya mengambil langkah pertama dengan membaca nukilan ini.
Bakal penterjemah yang dihormati,
Sekali sekala saya menerima kiriman e-mel atau mesej di blog bertanyakan pelbagai tip, teknik dan cara untuk menjadi penterjemah.
Benar-benar mahu tahukah? Panjang cerita!
Sebenarnya, ia sama sahaja seperti seperti kerjaya yang lain.
Ada pasang surut. Ada suka duka.
Ada pelbagai ragam manusia. Ada proses dan prosedurnya.
Sebelum itu, tanya diri kita dahulu:
Adakah kita memahami apa itu penterjemahan?
Adakah kita memiliki bakat dan kemahiran yang diperlukan?
Adakah kita mempunyai kelayakan yang secukupnya?
Adakah kita sanggup bersengkang mata demi mengejar tarikh akhir yang ketat?
Adakah kita faham tanggungjawab seorang penterjemah?
Adakah kita tahu teknik menterjemah yang betul?
Adakah kita menguasai bahasa sasaran dengan baik?
Adakah kita memahami mesej sebenar yang mahu disampaikan dalam teks asal?
Bakal penterjemah yang gigih berusaha,
Sesungguhnya kalian sangat beruntung.
Kini maklumat lebih mudah didapati. Semuanya di hujung jari sahaja.
Mahu tahu tentang dunia penterjemahan?
Klik dan cari di laman web dan di media sosial.
Klik untuk buat carian penterjemah dan akan keluar senarai di dunia maya.
Klik pada blog timpenterjemahsuper untuk kongsian pelbagai tip penterjemahan.
Klik pada laman web ITBM, DBP, PPM untuk mencari maklumat tentang kursus penterjemahan.
Bahkan…
Kita juga boleh cari dan daftar untuk menghadiri bengkel penterjemahan eksklusif sekali setahun, dengan beberapa klik sahaja!
Ya, begitu mudah sekarang!
Berbanding 16 tahun dahulu, keadaan ketara jauh berbeza.
Namun, itu bukan alasan untuk tidak berbuat apa-apa.
Tidak tahu? Tanya. Cari. Belajar. Asah. Praktikkan.
Tidak ada jalan mudah untuk menjadi penterjemah.
Bakat perlu dicungkil. Kemahiran perlu diasah. Ilmu perlu ada.
Moga dipermudahkan usaha kita memandaikan bangsa melalui karya terjemahan.

Insya-Allah.
------------------------
TIM Penterjemah Bebas

Sunday, September 25, 2016

Panduan Hidup sebagai Penterjemah Sepenuh Masa

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Saya kenal beberapa orang yang hidup sebagai penterjemah sepenuh masa. Mereka adalah pemegang ijazah belaka. Mereka bukan pesara. Salah seorang daripada mereka adalah seorang jurutera.

Sebagai penterjemah, pendapatan mereka datang daripada beberapa sumber:

(i) Mereka mempunyai satu senarai klien korporat yang dari waktu ke waktu menggunakan perkhidmatan mereka. Bahan-bahan korporat adalah panjang-panjang, bayarannya bagus tetapi sangat menekan dari segi jadual kerja. Kebanyakan bahan jenis ini adalah sangat teknikal. Bagi menterjemah bahan-bahan korporat mereka mengenakan bayaran lump-sum.

(ii) Mereka menterjemah dokumen-dokumen kecil daripada syarikat-syarikat kecil. Dokumen jenis ini paling bagus margin keuntungannya dan dapat disiapkan dengan pantas, tetapi ceknya kecil-kecil.

(iv) Bagi pelaburan jangka panjang, mereka menterjemah karya sastera dan buku-buku evergreen untuk penerbit yang kredibel dengan bayaran secara royalti. Setiap tahun mereka menterjemah 2 atau 3 buah buku.

Salah seorang daripada penterjemah yang saya kenal itu adalah seorang Cina, kini berusia 37 tahun. Dengan pendapatannya sebagai penterjemah, beliau sudah membeli 7 buah rumah teres dan sebuah banglo. Beliau hanya menterjemah daripada bahasa Melayu-Mandarin-Melayu.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/panduan_hidup_sebagai_penterjemah_sepenuh_masa/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Penterjemah Buku Berhak Memiliki Harta Inteleknya

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

PTS menawarkan 2 pilihan kepada para penterjemahnya:

(i) Dibayar lump-sum, yakni dibayar tunai sekali sahaja sebaik-baik siap menterjemah dan kualiti terjemahannya diterima oleh PTS, ataupun,

(ii) Dibayar secara royalti.

Banyak penterjemah hidup macam peniaga mee goreng -- sekali dia menggoreng mee, sekali dia dapat makan, akibatnya apabila dia berhenti menggoreng, dia berhenti makan. Sekali dia bekerja, sekali dia makan. Begitulah nasib majoriti penterjemah di negara kita ini.

Organisasi penterjemahan milik kerajaan seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pun melayan penterjemahnya seperti penggoreng mee. Meskipun ITNM menawarkan kadar bayaran khidmat terjemahan yang tinggi, tetapi syarikat kerajaan itu tidak memberi pilihan kepada penterjemahnya.

Seperti si penggoreng mee itu, bagi majoriti penterjemah, sampai rambut penuh uban di kepala, kalau dia perlukan wang, dia terpaksa menterjemah, tidak seperti bagaimana kehidupan pencipta dan komposer lagu yang dapat melakukan kerjanya sekali tetapi dia dapat makan berkali-kali.

Penterjemah mempunyai hak hidup selesa dengan memiliki harta intelek. Penterjemah boleh memilih hidup macam M. Nasir -- sekali beliau mencipta lagu -- sampai bila-bila dia dapat makan, tidak pedulilah siapa yang memainkan ataupun menyanyikan lagu ciptaannya itu, dia tetap mendapat royaltinya.

Apakah jenis-jenis karya terjemahan yang dapat menjadi harta intelek kepada penterjemah?

Semua karya yang evergreen boleh menjadi harta intelek penterjemah. Syaratnya, jangan jual hakcipta terjemahan saudara itu. Jangan mahu dibayar kontan. Sebagai contoh, jangan mahu dibayar RM3 ribu bagi menterjemahkan sebuah novel. Pilih sistem royalti. Selagi novel itu diulangcetak, selagi itu penterjemah menerima royaltinya.

Banyak buku adalah evergreen. Percayalah, lazimnya apabila penerbit memilih judul bagi diterjemahkan, penerbit itu memilih judul yang berpotensi diulangcetak berkali-kali.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/penterjemah_buku_berhak_memiliki_harta_inteleknya/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Penulis dan Penterjemah Mendahului Kamus

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Penyusun kamus-kamus bahasa sentiasa bekerja di belakang penulis dan penterjemah. Maksudnya, mereka menyusun kamus dengan merekodkan perkataan-perkataan yang digunakan dalam akhbar, majalah, buku-buku, rancangan televisyen, radio dan ucapan-ucapan rasmi.

Realitinya, penyusun kamus berada di belakang penulis dan penterjemah. Kamus yang ikut buku. Bukan buku yang ikut kamus.

Sebagai contoh, apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menggunakan perkataan "prihatin", "istiqamah" dan "gawat" buat perkama kalinya semasa beliau membentangkan kertas belanjawan negara di parlimen, barulah pegawai-pegawai perkamusan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencatatkan perkataan-perkataan itu, lalu kemudian dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan.

Justeru kerja-kerja penulis dan penterjemah sebagai agen perkembangan bahasa adalah sangat penting. Merekalah yang sebenarnya mengembangkan bahasa, bukan para penyusun kamus.

Kamus bahasa Inggeris oleh Oxford sentiasa diterbitkan edisi terkininya setiap 5 tahun disebabkan dalam tempoh itu sudah banyak perkataan-perkataan baru dicipta dan dipinjam oleh penulis-penulis Inggeris.

Maka menjadi tugas para penulis dan penterjemah dalam Bahasa Melayu supaya rajin mencipta dan meminjam sebanyak-banyak perkataan baru ke dalam Bahasa Melayu, supaya jumlah kosa kata Melayu semakin hari semakin banyak, supaya kamus Bahasa Melayu semakin hari semakin tebal!

Salah apabila orang bertanya, "Mengapakah ada penulis yang sering menggunakan perkataan 'tim' dan 'marketing' sedangkan dua perkataan itu tidak ada dalam kamus."

Tugas penyusun kamus adalah mencatatkan sahaja perkataan-perkataan yang baru digunakan itu dan memasukkannya ke dalam kamus yang mereka susun.

Para penulis dan penterjemah, jangan hanya berkarya dengan menggunakan perkataan-perkataan yang ada dalam kamus-kamus sahaja, nanti kosa kata Bahasa Melayu menjadi beku dan statik.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/penulis_dan_penterjemah_mendahului_kamus/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terjemahan Karya yang Sudah Menjadi Harta Awam

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)


Apabila PTS menerbitkan siri penyiasatan Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle, PTS tidak perlu mendapatkan izin bagi menterjemahkan karya-karya itu.

PTS juga tidak perlu membayar royalti kepada waris Doyle. Ini disebabkan siri SH sudah menjadi harta awam.


Katakanlah siri SH itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Tn. Imran Yusuf, PTS hanya membayar royalti kepada beliau seorang, waris Doyle tidak menerima satu sen pun.
Apakah makna semua ini?


(i) Hanya karya asal Sherlock Holmes, yang ditulis sendiri oleh mendiang Doyle, yang sudah bertaraf 'harta awam'. Karya original itu sahaja yang boleh diterbitkan semula oleh sesiapa tanpa meminta izin dan tanpa membayar royalti.


(ii) Ada penerbit di England yang menerbitkan siri SH edisi pelajar, maka hakcipta SH edisi pelajar itu bukan harta awam. Maka jangan menterjemahkan SH ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan edisi pelajar itu tanpa izin kerana perbuatan itu melanggar hakcipta.


(iii) Berpuluh-puluh negara sudah menterjemahkan siri SH ke dalam bahasa masing-masing, maka hakcipta terjemahan itu belum menjadi harta awam. Maka jangan menterjemah SH berdasaran edisi terjemahan itu tanpa izin.


(iv) Katakanlah Tuan Imran menterjemahkan siri SH ke dalam Bahasa Melayu, maka beliau mesti menterjemah dengan menggunakan edisi original. Hakcipta terjemahan adalah dimiliki oleh Tuan Imran. Hanya selepas 50 tahun Tn. Imran meninggal dunia barulah terjemahannya itu menjadi harta awam.


(v) Katakanlah ada penerbit ABC hendak menterjemah siri SH juga ke dalam Bahasa Melayu, silakan. Bagi edisi terjemahan itu hakciptanya dimiliki oleh pihak yang berkaitan. PTS mahupun Tn. Imran tidak berhak menghalang mana-mana pihak lain menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu mereka sendiri.


Bagi tiap-tiap karya terjemahan, hakciptanya adalah milik si penterjemah itu. Sebagaimana undang-undang hakcipta melindungi karya asal, undang-undang itu melindungi karya terjemahan sebagai karya asal juga.

(Artikel asal:   http://universitipts.com/index.php/hakcipta_terjemahan_karya_yang_sudah_menjadi_harta_awam/)

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Undang-undang Hakcipta: Apa Itu ‘fair use”

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)


Jikalau setiap kali kita membuat petikan daripada karya orang lain kita terpaksa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya berkenaan, tentulah hal ini amat menyukarkan. Itulah sebabnya dalam undang-undang hakcipta ada apa yang disebutkan sebagai “fair use” atau “penggunaan munasabah”.

Jadi, “fair use” (penggunaan munasabah) bermakna “memetik (to quote) ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa perlu mendapatkan izin bertulis daripada pemilik hakcipta terlebih dahulu sebelum diterbitkan”. 

“Fair use” bukan bermakna kita boleh menyalin semula ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa menggunakan cara-cara yang betul apabila membuat petikan. Istilah "memetik" (to quote)  secara "fair use" merujuk kepada teknik-teknik yang betul, yang diterangkan dalam manual-manual penulisan buku.  

Petikan yang layak dipanggil “fair use” terdiri daripada 2 jenis:
  1. Petikan yang digunakan bagi tujuan penilaian, ulasan dan kritikan adalah layak dianggap “fair use”.
  2. Petikan yang digunakan dalam karya penyelidikan seperti tesis akademik dan laporan kajian yang diterbitkan dalam bentuk jurnal akademik adalah layak dianggap “fair use”. Tujuan penulisan tesis dan artikel jurnal akademik adalah bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Ia yang tidak mendatangkan keuntungan kewangan kepada penulis. Maka munasabahlah petikan-petikan yang dilakukan itu layak dianggap “fair use” dan tidak diwajibkan mendapat izin bertulis daripada pemilik hakcipta.
Sesuatu petikan itu tidak lagi layak dikatakan “fair use” apabila dalam keadaan berikut:
  1. Penulis menulis buku dan dalam buku itu jumlah petikan-petikan yang dibuat itu melebihi 10% daripada kandungan buku, ataupun melebihi 1,000 perkataam sahaja (whichever is less). Jika jumlah itu kurang, tetapi penulis tidak memberikan maklumat sumber petikan yang dilakukannya itu, maka perbuatan itu tidak layak dianggap “fair use”.
  2. Penulis menulis buku, dan buku itu dijual bagi tujuan yang menguntungkan dirinya. Dalam kes ini, penulis membuat petikan dengan menyebutkan sumber petikannya, tetapi apabila jumlah petikan-petikan itu melebihi 10% ataupun 1,000 perkataan, maka itu tidak lagi layak dianggap “fair use”, oleh itu wajib mendapatkan izin bertulis.
Perbuatan menyalin ayat-ayat hasil kerja pengarang ataupun penterjemah lain tanpa melakukan 'acknowledgement' dengan cara-cara yang betul, walaupun hanya sepotong ayat sekalipun, apatah lagi apabila jumlahnya lebih daripada 10% ataupun lebih daripada 1,000 perkataan, adalah salah dan melanggar undang-undang hakcipta. Perbuatan itu disebut dengan istilah “plagiarisme”.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/undang_undang_hakcipta_apa_itu_fair_use/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Prosedur Menterjemah Buku

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)
Entri ini ditulis khusus untuk tuan dan puan yang amat berminat menterjemah buku ke dalam Bahasa Melayu.

(1) Pertama-tama jangan menterjemah dahulu. Sebelum menterjemah kita wajib mendapatkan lesen (a) hak menterjemah dan (b) hak menerbitkan terjemahan itu daripada pemegang harta intelek buku tersebut, yang mungkin penulisnya sendiri ataupun penerbit asal buku itu, ataupun waris keturunannya. Izin itu mesti secara bertulis.

(2) Bagi buku-buku yang sudah menjadi harta awam (public-domain), kita tidak perlu mendapatkan hak menterjemahkan karya itu. Tetapi jangan menterjemah dahulu. Dapatkah dahulu komitmen daripada mana-mana penerbit yang berminat menerbitkan terjemahan tersebut. Jika tidak, tuan penat menterjemah tetapi tidak ada penerbit yang berminat menerbitkannya.

(3) Penerbit asal lazimnya tidak berminat memberi hak menterjemah dan hak menerbitkan kepada individu. Mereka hanya mahu berurusan dengan penerbit yang dapat mereka percayai sahaja. Justeru, urusan mendapatkan hak menterjemah adalah urusan penerbit, bukan urusan penterjemah.

(4) Lazimnya yuran lesen hak menterjemah dan hak menerbitkan adalah tinggi dan dibayar sebelum hak itu diberikan, dan transaksi adalah dalam dolar US ataupun Euro. Hak itu pula ada tempoh tamatnya.

NOTA:

1. PTS adalah sebuah penerbit yang komited menerbitkan buku-buku terjemahan yang laku dalam pasaran dan bermanfaat kepada perjuangan PTS "memandaikan bangsa".

2. PTS mempunyai senarai judul-judul yang dirancang terjemahannya bagi tiap-tiap tahun. Jadi, buku yang akan diterbitkan pada tahun hadapan sudah diuruskan proses pelesenannya pada tahun ini.

3. PTS mempunyai senarai penterjemahnya yang dilatih sendiri oleh PTS bagi memastikan kualiti buku-buku terjemahan PTS adalah yang paling tinggi di negara ini.

4. PTS menawarkan sistem ganjarannya sendiri kepada penterjemah, yang tidak serupa dengan sistem  ganjaran penerbit-penerbit seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ataupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ataupun Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).



(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/prosedur_menterjemah_buku/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Menterjemah Lebih Menguntungkan daripada Menulis Karya Asli

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

*Al-Fatihah buat Arwah Tuan Imran Yusof

--------------------------------------------

Tn. Imran Yusof menulis karya asal dan juga menterjemah buku-buku terbitan PTS.

Beliau memberitahu, bagi pendapatan royalti 2008, ada perkara yang sangat menarik dalam laporan prestasi jualan buku-bukunya.

Menurut beliau, walaupun bagi buku bisnes yang diterjemahkannya beliau hanya menerima 30% royalti (70% diberikan kepada penerbit dan pengarang), namun beliau menerima jumlah wang yang lebih banyak daripada jualan buku terjemahan dibandingkan dengan royalti daripada karya asal beliau sendiri. Antara faktor yang menyebabkan situasi begini adalah kerana harga buku terjemahan relatif tinggi.

NOTA: Tuan Imran adalah seorang eksekutif kanan di bahagian teknikal sebuah syarikat perkapalan.
Beliau adalah antara peserta kursus PTS yang belajar menulis dari sifar.

Sehingga kini (artikel ini ditulis pada 22 oktober, 2009), beliau sudah menerbitkan 2 buah karya sendiri, 1 karya bersama, 3 terjemahan sendiri, 2 terjemahan bersama, 3 karya belum terbit, dan 3 lagi sedang diusahakan.

 (Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/menterjemah_lebih_menguntungkan_daripada_menulis_karya_asli/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Kedudukan Hakcipta Karya Terjemahan

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Katakanlah, tuan seorang peminat Yokio Mishima. Tuan sudah menterjemahkan karya mendiang penulis pemenang Nobel Prize itu ke dalam Bahasa Melayu, tetapi tuan menterjemahkannya dengan tidak meminta izin daripada pihak yang memiliki hakcipta karya itu.

Dalam keadaan begini, kedudukan tuan adalah seperti berikut:

1. Apabila tuan menterjemah karya orang lain, maka hakcipta ke atas terjemahan yang tuan hasilkan itu adalah hak tuan. Tidak kiralah apakah tuan mendapat izin ataupun tidak daripada pemilik hakcipta karya asal.

2. Walau bagaimanapun, tuan hanya boleh menerbitkan terjemahan tuan itu dengan meminta izin daripada daripada pemilik hakcipta karya asal. Ertinya, tuan hanya boleh menyimpan sahaja terjemahan tuan itu untuk bacaan tuan sendiri.

3. Orang lain pula tidak boleh menerbitkan hasil terjemahan tuan itu tanpa izin daripada tuan. Ertinya, jikalau ada orang lain menerbitkan terjemahan tuan itu tanpa izin  tuan, orang itu sudah mencuri hakcipta tuan. 

Itulah sebabnya, penterjemah mesti meminta izin daripada pemilik hakcipta sesuatu karya sebelum menterjemahkan karya itu.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/kedudukan_hakcipta_karya_terjemahan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Dasar, Mazhab Teori dan Teknik Terjemahan PTS

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Para penterjemah sentiasa dipersoal apakah terjemahan yang mereka lakukan itu 'betul' ataupun 'tidak betul'.

Semua buku teori terjemahan menekankan peri pentingnya teks asal diterjemahkan dengan betul.

Secara konvensional, salah satu ciri 'terjemahan betul' adalah semua maklumat dalam teks asal hendaklah dipindahkan dengan tepat dan sepenuhnya, tidak boleh ada maklumat yang sengaja tidak dipindahkan. Inilah mazhab terjemahan yang diajarkan dalam mana-mana kursus terjemahan, dalam negara dan luar negara.

Mazhab terjemahan di PTS berbeza. Ini kerana, apabila kita ditanya "Adakah terjemahan buku ini betul?", soalan itu perlu dijhawab dengan mengemukakan soalan, "Betul untuk siapa?"

PTS mempunyai dasar bisnesnya sendiri. Dasar bisnes PTS adalah menerbitkan buku-buku yang mematuhi syariah dan memandaikan bangsa. Dasar bisnes PTS ini diterjemahkan ke dalam semua buku yang diterbitkan oleh PTS, termasuklah buku-buku terjemahan dari bahasa-bahasa lain.

Ini bermakna, ayat-ayat dalam bahasa asal yang bertentangan dengan syariah tidak diterjemahkan. Sebagai contoh, dalam buku-buku motivasi dan pembangunan diri, ayat-ayat yang berupa petikan dari kitab-kitab agama lain tidak diterjemahkan secara langsung, yakni secara perkataan demi perkataan.

Begitu juga maklumat yang tidak selaras dengan budaya tempatan juga tidak diterjemahkan. Sebagai contoh, istilah 'partner' yang merujuk kepada hubungan lelaki perempuan yang tinggal serumah dengan tidak bernikah akan disesuaikan dengan budaya tempatan yang hanya membenarkan hubungan suami isteri.

Disebabkan PTS mempunyai dasar dan mazhab terjemahannya sendiri, maka PTS melatih kumpulan penterjemahnya sendiri supaya mereka mempunyai kemahiran tinggi dalam menangani pelbagai jenis maklumat dalam buku-buku yang diterjemahkan.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/dasar_editorial_terjemahan_pts/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Adlie Shamsuddin dalam Kenangan: Al- Fatihah

Alfatihah buat arwah. Rakan yang baik dan penterjemah hebat!

-Tim
8 Mac 2012

-------------

Ahad 29 Mei 2011, selepas waktu Asar, Tn. Adlie Shamsuddin meninggalkan seorang ibu, seorang isteri dan dua orang anak lelakinya, kerana pulang ke Negeri Abadi.

Allahyarham pergi ke surau dengan anak lelakinya bagi menunaikan solat Asar dan rebah di surau itu.

Beliau adalah penterjemah PTS yang sangat berdisiplin dan sangat tinggi kualiti terjemahannya. Beliau juga seorang yang sangat pandai bekerjasama sebagai anggota Tim PTS.

Meskipun beliau adalah penterjemah professional sepenuh masa, setiap hari beliau beliau datang ke pejabat editorial PTS dan menjalankan kerja-kerja terjemahan buku PTS bersama-sama dengan para editor. Oleh hal yang demikian beliau dilayan seolah-olah staf PTS dan beliau juga membawa diri seperti staf PTS.

Beliau diperkenalkan kepada saya oleh Puan Fred Suriya, penulis bersama siri Adam Kecil. Mereka pernah menjadi rakan sejawat sebagai penterjemah di sebuah syarikat swasta.

Kita sangat berdukacita kerana tidak dapat lagi bersama beliau. Mudah-mudahan Allah menempatkan ruh beliau bersama-sama ruh mereka yang dikasihiNya. Amin... Amin...

Beliau banyak meninggalkan karya terjemahan yang sangat tinggi mutunya seperti Mengapa Rasullullah Tidak Pernah Sakit, Men Are From Mars, Women Are From Venus, dan Quranic Super Healing.

.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/dalam_kenangan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS