Jikalau setiap kali kita membuat petikan daripada karya orang lain kita terpaksa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya berkenaan, tentulah hal ini amat menyukarkan. Itulah sebabnya dalam undang-undang hakcipta ada apa yang disebutkan sebagai “fair use” atau “penggunaan munasabah”.
Jadi, “fair use” (penggunaan munasabah) bermakna “memetik (to quote) ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa perlu mendapatkan izin bertulis daripada pemilik hakcipta terlebih dahulu sebelum diterbitkan”.
“Fair use” bukan bermakna kita boleh menyalin semula ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa menggunakan cara-cara yang betul apabila membuat petikan. Istilah "memetik" (to quote) secara "fair use" merujuk kepada teknik-teknik yang betul, yang diterangkan dalam manual-manual penulisan buku.
Petikan yang layak dipanggil “fair use” terdiri daripada 2 jenis:
- Petikan yang digunakan bagi tujuan penilaian, ulasan dan kritikan adalah layak dianggap “fair use”.
- Petikan yang digunakan dalam karya penyelidikan seperti tesis akademik dan laporan kajian yang diterbitkan dalam bentuk jurnal akademik adalah layak dianggap “fair use”. Tujuan penulisan tesis dan artikel jurnal akademik adalah bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Ia yang tidak mendatangkan keuntungan kewangan kepada penulis. Maka munasabahlah petikan-petikan yang dilakukan itu layak dianggap “fair use” dan tidak diwajibkan mendapat izin bertulis daripada pemilik hakcipta.
Sesuatu petikan itu tidak lagi layak dikatakan “fair use” apabila dalam keadaan berikut:
- Penulis menulis buku dan dalam buku itu jumlah petikan-petikan yang dibuat itu melebihi 10% daripada kandungan buku, ataupun melebihi 1,000 perkataam sahaja (whichever is less). Jika jumlah itu kurang, tetapi penulis tidak memberikan maklumat sumber petikan yang dilakukannya itu, maka perbuatan itu tidak layak dianggap “fair use”.
- Penulis menulis buku, dan buku itu dijual bagi tujuan yang menguntungkan dirinya. Dalam kes ini, penulis membuat petikan dengan menyebutkan sumber petikannya, tetapi apabila jumlah petikan-petikan itu melebihi 10% ataupun 1,000 perkataan, maka itu tidak lagi layak dianggap “fair use”, oleh itu wajib mendapatkan izin bertulis.
Perbuatan menyalin ayat-ayat hasil kerja pengarang ataupun penterjemah lain tanpa melakukan 'acknowledgement' dengan cara-cara yang betul, walaupun hanya sepotong ayat sekalipun, apatah lagi apabila jumlahnya lebih daripada 10% ataupun lebih daripada 1,000 perkataan, adalah salah dan melanggar undang-undang hakcipta. Perbuatan itu disebut dengan istilah “plagiarisme”.
(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/undang_undang_hakcipta_apa_itu_fair_use/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
No comments:
Post a Comment