Friday, September 30, 2016

Anugerah Terjemahan Negara 2012


KHALIDAH ADIBAH AMIN atau lebih terkenal sebagai ADIBAH AMIN dipilih penerima pertama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012, sekali gus membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM10,000 berserta sijil penganugerahan yang disampaikan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia dalam satu majlis khas di Putrajaya, hari ini (Rabu, 3 Oktober 2012).

Pemilihan beliau diputuskan panel penilai khas yang dilantik Jawatankuasa Penganjur, selepas menilai hasil sumbangan Adibah membangunkan psikologi pemikiran bangsa menerusi medium terjemahan.Bermula dengan No Harvest But Thorn karya asal 'Ranjau Sepanjang Jalan' tulisan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad pada 1972, usahanya berterusan selama lebih empat dekad, selain turut berjasa menterjemah satu lagi karya besar negara, iaitu Jungle of Hope, karya asal 'Rimba Harapan' tulisan SN Keris Mas.
Pada masa sama, sumbangan Adibah tidak hanya dinilai berdasarkan terjemahan langsung yang dihasilkannya, tetapi juga menerusi suntingan terhadap sekian banyak hasil kerja terjemahan membabitkan teks sumber pelbagai buku bahasa lnggeris - satu lagi pecahan tugas penting di bawah skop kerja terjemahan.
 Selain itu, Adibah juga disifalkan sebagai penterjemah berkredibiliti, berikutan kemampuan beliau memahami istilah serta sub teks penulis, baik untuk karya kreatif mahupun teks langsung berdasarkan fakta, sama ada karya berat mahupun genre penulisan kanak-kanak. Begitu juga semangat serta kesungguhan Adibah.
Dalam keadaan dirinya yang kurang berkeupayaan akibat faktor kesihatan, beliau tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti daripada berkarya, sekali gus memperlihatkan jati diri pejuang sastera tulen negara.
Sehubungan itu, panel penilai sebulat suara memilih Adibah sebagai penerima pertama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara yang diwujudkan kali pertama menerusi Anugerah Terjemahan Negara ITBM-PPM(ATN ITBM-PPM) 2012 yang kali keempat dianjurkan selepas yang terakhir pada 1995.
Pada majlis sama, turut diumumkan ialah pemenang bagi Anugerah Penterjemah Terbaik serta Anugerah Penghargaan untuk tujuh kategori bidang dipertandingkan. Bagaimanapun, daripada semua tujuh kategori tersebut, hanya lima pemenang diumumkan bagi kedua-dua Anugerah (kategori Kreatif, Umum, Sains Sosial, Sains & Teknikal dan Bacaan Kanak-kanak), manakala untuk baki dua kategori, iaitu Agama serta Media & Rencana, tiada pemenang diputuskan oleh panel penilai.
Berikut adalah senarai pemenang serta karya yang dipertandingkan:
ANUGERAH PENTERJEMAH TERBAIK
a. Kategori Kreatif
Anugerah Penterjemah Terbaik : Zaleha Abidin
Judulbuku: Sandokan
Anugerah Penghargaan: Nor Farhana Zulkeplee, Nurul Hidayah Abdillah, Wan Norazah Wan Chik
Judul buku: Amina
b. Kategori Umum
Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
Judul buku : Dunia Pasca Amerika
Anugerah Penghargaan: Haim Hilman Abdullah
Judul buku : Persaingan Hiperkompetitif: Bersaing dalam Persekitaran Sangat Dinamik
c. Kategori Sains Sosial
Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
Judul buku: Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid
Anugerah Penghargaan : Fatimah Rodiah Mohd Yusof
Judul buku : Gina Penakluk Bisnes Lautan Pasifik
d. Kategori Sains & Teknikal
Anugerah Penterjemah Terbaik : Abdul Khalil Shawkataly & Rozman Hj. Din
Judul buku : Sains Gentian
Anugerah Penghargaan: Muhammad Razin Ong Abdullah
Judul buku : Pengenalan kepada Mekatronik dan Sistem Pengukuran
e. Kategori Bacaan Kanak-Kanak
Anugerah Penterjemah Terbaik: Shamsiah Md. Said
Judul buku: 1000 Fakta tentang Tumbuhan
Anugerah Penghargaan
  1. Norhayati Md. Mokhtar
Judul Buku: Mari Berseronok dengan Ensiklopedia Haiwan
  1. Che Norhasimah Abd. Hamid
Judul Buku: Mari Berseronok dengan Ensiklopedia Sains
 Setiap pemenang bagi Anugerah Penterjemah Terbaik membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan, manakala pemenang bagi Anugerah Penghargaan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil dan hadiah iringan.
Pemenang dipilih berdasarkan hasil terjemahan karya bahasa Melayu yang diterbitkan antara 2009 hingga 2012. Sejak diumukan tahun lalu (2011), sejumlah 61 karya dicalonkan dan 30 dipilih untuk penjurian peringkat akhir. Antara elemen yang dinilai ialah ketelitian pemilihan istilah bagi memastikan jalan cerita teks sumber selari dengan hasil terjemahan, keindahan lenggok bahasa dan kolokasi sesuai bagi membangkitkan kesan pembacaan serupa sebagaimana teks sumber.
Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penganjur, bermula tahun ini (2012), ATN ITPM-PPM akan diadakan setiap tiga tahun sebagai menyokong usaha kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), sekali gus menjadi dorongan kepada penterjemah untuk menghasilkan terjemahan lebih berkualiti.
(Artikel asal di sini: http://m.pts.com.my/berita/kenyataan-media-majlis-penyampaian-anugerah-terjemahan-negara-itbm-ppm-2012/)

Wednesday, September 28, 2016

SURAT KEPADA BAKAL PENTERJEMAH



Khas buat bakal penterjemah di luar sana,


Penterjemah sememangnya bukan kerjaya yang popular. Pasti ia bukan cita-cita kita sejak kecil dahulu. Jadi, kenapa mahu menjadi penterjemah?
Adakah kerana ada bakat menterjemah?
Adakah kerana kerjaya sebagai penterjemah sesuai untuk kita?
Adakah kerana bosan duduk di rumah tidak berbuat apa-apa?
Adakah kerana mahu menjana pendapatan sampingan?
Adakah kerana sudah penat mengharungi kesesakan untuk ke pejabat setiap hari?
Tidak kira apapun sebab musabab di sebalik keputusan itu, izinkan saya mengucapkan tahniah!
Eh, kenapa?
Kerana berjaya mengambil langkah pertama dengan membaca nukilan ini.
Bakal penterjemah yang dihormati,
Sekali sekala saya menerima kiriman e-mel atau mesej di blog bertanyakan pelbagai tip, teknik dan cara untuk menjadi penterjemah.
Benar-benar mahu tahukah? Panjang cerita!
Sebenarnya, ia sama sahaja seperti seperti kerjaya yang lain.
Ada pasang surut. Ada suka duka.
Ada pelbagai ragam manusia. Ada proses dan prosedurnya.
Sebelum itu, tanya diri kita dahulu:
Adakah kita memahami apa itu penterjemahan?
Adakah kita memiliki bakat dan kemahiran yang diperlukan?
Adakah kita mempunyai kelayakan yang secukupnya?
Adakah kita sanggup bersengkang mata demi mengejar tarikh akhir yang ketat?
Adakah kita faham tanggungjawab seorang penterjemah?
Adakah kita tahu teknik menterjemah yang betul?
Adakah kita menguasai bahasa sasaran dengan baik?
Adakah kita memahami mesej sebenar yang mahu disampaikan dalam teks asal?
Bakal penterjemah yang gigih berusaha,
Sesungguhnya kalian sangat beruntung.
Kini maklumat lebih mudah didapati. Semuanya di hujung jari sahaja.
Mahu tahu tentang dunia penterjemahan?
Klik dan cari di laman web dan di media sosial.
Klik untuk buat carian penterjemah dan akan keluar senarai di dunia maya.
Klik pada blog timpenterjemahsuper untuk kongsian pelbagai tip penterjemahan.
Klik pada laman web ITBM, DBP, PPM untuk mencari maklumat tentang kursus penterjemahan.
Bahkan…
Kita juga boleh cari dan daftar untuk menghadiri bengkel penterjemahan eksklusif sekali setahun, dengan beberapa klik sahaja!
Ya, begitu mudah sekarang!
Berbanding 16 tahun dahulu, keadaan ketara jauh berbeza.
Namun, itu bukan alasan untuk tidak berbuat apa-apa.
Tidak tahu? Tanya. Cari. Belajar. Asah. Praktikkan.
Tidak ada jalan mudah untuk menjadi penterjemah.
Bakat perlu dicungkil. Kemahiran perlu diasah. Ilmu perlu ada.
Moga dipermudahkan usaha kita memandaikan bangsa melalui karya terjemahan.

Insya-Allah.
------------------------
TIM Penterjemah Bebas

Sunday, September 25, 2016

Panduan Hidup sebagai Penterjemah Sepenuh Masa

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Saya kenal beberapa orang yang hidup sebagai penterjemah sepenuh masa. Mereka adalah pemegang ijazah belaka. Mereka bukan pesara. Salah seorang daripada mereka adalah seorang jurutera.

Sebagai penterjemah, pendapatan mereka datang daripada beberapa sumber:

(i) Mereka mempunyai satu senarai klien korporat yang dari waktu ke waktu menggunakan perkhidmatan mereka. Bahan-bahan korporat adalah panjang-panjang, bayarannya bagus tetapi sangat menekan dari segi jadual kerja. Kebanyakan bahan jenis ini adalah sangat teknikal. Bagi menterjemah bahan-bahan korporat mereka mengenakan bayaran lump-sum.

(ii) Mereka menterjemah dokumen-dokumen kecil daripada syarikat-syarikat kecil. Dokumen jenis ini paling bagus margin keuntungannya dan dapat disiapkan dengan pantas, tetapi ceknya kecil-kecil.

(iv) Bagi pelaburan jangka panjang, mereka menterjemah karya sastera dan buku-buku evergreen untuk penerbit yang kredibel dengan bayaran secara royalti. Setiap tahun mereka menterjemah 2 atau 3 buah buku.

Salah seorang daripada penterjemah yang saya kenal itu adalah seorang Cina, kini berusia 37 tahun. Dengan pendapatannya sebagai penterjemah, beliau sudah membeli 7 buah rumah teres dan sebuah banglo. Beliau hanya menterjemah daripada bahasa Melayu-Mandarin-Melayu.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/panduan_hidup_sebagai_penterjemah_sepenuh_masa/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Penterjemah Buku Berhak Memiliki Harta Inteleknya

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

PTS menawarkan 2 pilihan kepada para penterjemahnya:

(i) Dibayar lump-sum, yakni dibayar tunai sekali sahaja sebaik-baik siap menterjemah dan kualiti terjemahannya diterima oleh PTS, ataupun,

(ii) Dibayar secara royalti.

Banyak penterjemah hidup macam peniaga mee goreng -- sekali dia menggoreng mee, sekali dia dapat makan, akibatnya apabila dia berhenti menggoreng, dia berhenti makan. Sekali dia bekerja, sekali dia makan. Begitulah nasib majoriti penterjemah di negara kita ini.

Organisasi penterjemahan milik kerajaan seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pun melayan penterjemahnya seperti penggoreng mee. Meskipun ITNM menawarkan kadar bayaran khidmat terjemahan yang tinggi, tetapi syarikat kerajaan itu tidak memberi pilihan kepada penterjemahnya.

Seperti si penggoreng mee itu, bagi majoriti penterjemah, sampai rambut penuh uban di kepala, kalau dia perlukan wang, dia terpaksa menterjemah, tidak seperti bagaimana kehidupan pencipta dan komposer lagu yang dapat melakukan kerjanya sekali tetapi dia dapat makan berkali-kali.

Penterjemah mempunyai hak hidup selesa dengan memiliki harta intelek. Penterjemah boleh memilih hidup macam M. Nasir -- sekali beliau mencipta lagu -- sampai bila-bila dia dapat makan, tidak pedulilah siapa yang memainkan ataupun menyanyikan lagu ciptaannya itu, dia tetap mendapat royaltinya.

Apakah jenis-jenis karya terjemahan yang dapat menjadi harta intelek kepada penterjemah?

Semua karya yang evergreen boleh menjadi harta intelek penterjemah. Syaratnya, jangan jual hakcipta terjemahan saudara itu. Jangan mahu dibayar kontan. Sebagai contoh, jangan mahu dibayar RM3 ribu bagi menterjemahkan sebuah novel. Pilih sistem royalti. Selagi novel itu diulangcetak, selagi itu penterjemah menerima royaltinya.

Banyak buku adalah evergreen. Percayalah, lazimnya apabila penerbit memilih judul bagi diterjemahkan, penerbit itu memilih judul yang berpotensi diulangcetak berkali-kali.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/penterjemah_buku_berhak_memiliki_harta_inteleknya/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Penulis dan Penterjemah Mendahului Kamus

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Penyusun kamus-kamus bahasa sentiasa bekerja di belakang penulis dan penterjemah. Maksudnya, mereka menyusun kamus dengan merekodkan perkataan-perkataan yang digunakan dalam akhbar, majalah, buku-buku, rancangan televisyen, radio dan ucapan-ucapan rasmi.

Realitinya, penyusun kamus berada di belakang penulis dan penterjemah. Kamus yang ikut buku. Bukan buku yang ikut kamus.

Sebagai contoh, apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menggunakan perkataan "prihatin", "istiqamah" dan "gawat" buat perkama kalinya semasa beliau membentangkan kertas belanjawan negara di parlimen, barulah pegawai-pegawai perkamusan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencatatkan perkataan-perkataan itu, lalu kemudian dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan.

Justeru kerja-kerja penulis dan penterjemah sebagai agen perkembangan bahasa adalah sangat penting. Merekalah yang sebenarnya mengembangkan bahasa, bukan para penyusun kamus.

Kamus bahasa Inggeris oleh Oxford sentiasa diterbitkan edisi terkininya setiap 5 tahun disebabkan dalam tempoh itu sudah banyak perkataan-perkataan baru dicipta dan dipinjam oleh penulis-penulis Inggeris.

Maka menjadi tugas para penulis dan penterjemah dalam Bahasa Melayu supaya rajin mencipta dan meminjam sebanyak-banyak perkataan baru ke dalam Bahasa Melayu, supaya jumlah kosa kata Melayu semakin hari semakin banyak, supaya kamus Bahasa Melayu semakin hari semakin tebal!

Salah apabila orang bertanya, "Mengapakah ada penulis yang sering menggunakan perkataan 'tim' dan 'marketing' sedangkan dua perkataan itu tidak ada dalam kamus."

Tugas penyusun kamus adalah mencatatkan sahaja perkataan-perkataan yang baru digunakan itu dan memasukkannya ke dalam kamus yang mereka susun.

Para penulis dan penterjemah, jangan hanya berkarya dengan menggunakan perkataan-perkataan yang ada dalam kamus-kamus sahaja, nanti kosa kata Bahasa Melayu menjadi beku dan statik.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/penulis_dan_penterjemah_mendahului_kamus/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terjemahan Karya yang Sudah Menjadi Harta Awam

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)


Apabila PTS menerbitkan siri penyiasatan Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle, PTS tidak perlu mendapatkan izin bagi menterjemahkan karya-karya itu.

PTS juga tidak perlu membayar royalti kepada waris Doyle. Ini disebabkan siri SH sudah menjadi harta awam.


Katakanlah siri SH itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Tn. Imran Yusuf, PTS hanya membayar royalti kepada beliau seorang, waris Doyle tidak menerima satu sen pun.
Apakah makna semua ini?


(i) Hanya karya asal Sherlock Holmes, yang ditulis sendiri oleh mendiang Doyle, yang sudah bertaraf 'harta awam'. Karya original itu sahaja yang boleh diterbitkan semula oleh sesiapa tanpa meminta izin dan tanpa membayar royalti.


(ii) Ada penerbit di England yang menerbitkan siri SH edisi pelajar, maka hakcipta SH edisi pelajar itu bukan harta awam. Maka jangan menterjemahkan SH ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan edisi pelajar itu tanpa izin kerana perbuatan itu melanggar hakcipta.


(iii) Berpuluh-puluh negara sudah menterjemahkan siri SH ke dalam bahasa masing-masing, maka hakcipta terjemahan itu belum menjadi harta awam. Maka jangan menterjemah SH berdasaran edisi terjemahan itu tanpa izin.


(iv) Katakanlah Tuan Imran menterjemahkan siri SH ke dalam Bahasa Melayu, maka beliau mesti menterjemah dengan menggunakan edisi original. Hakcipta terjemahan adalah dimiliki oleh Tuan Imran. Hanya selepas 50 tahun Tn. Imran meninggal dunia barulah terjemahannya itu menjadi harta awam.


(v) Katakanlah ada penerbit ABC hendak menterjemah siri SH juga ke dalam Bahasa Melayu, silakan. Bagi edisi terjemahan itu hakciptanya dimiliki oleh pihak yang berkaitan. PTS mahupun Tn. Imran tidak berhak menghalang mana-mana pihak lain menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu mereka sendiri.


Bagi tiap-tiap karya terjemahan, hakciptanya adalah milik si penterjemah itu. Sebagaimana undang-undang hakcipta melindungi karya asal, undang-undang itu melindungi karya terjemahan sebagai karya asal juga.

(Artikel asal:   http://universitipts.com/index.php/hakcipta_terjemahan_karya_yang_sudah_menjadi_harta_awam/)

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Undang-undang Hakcipta: Apa Itu ‘fair use”

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)


Jikalau setiap kali kita membuat petikan daripada karya orang lain kita terpaksa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya berkenaan, tentulah hal ini amat menyukarkan. Itulah sebabnya dalam undang-undang hakcipta ada apa yang disebutkan sebagai “fair use” atau “penggunaan munasabah”.

Jadi, “fair use” (penggunaan munasabah) bermakna “memetik (to quote) ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa perlu mendapatkan izin bertulis daripada pemilik hakcipta terlebih dahulu sebelum diterbitkan”. 

“Fair use” bukan bermakna kita boleh menyalin semula ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa menggunakan cara-cara yang betul apabila membuat petikan. Istilah "memetik" (to quote)  secara "fair use" merujuk kepada teknik-teknik yang betul, yang diterangkan dalam manual-manual penulisan buku.  

Petikan yang layak dipanggil “fair use” terdiri daripada 2 jenis:
  1. Petikan yang digunakan bagi tujuan penilaian, ulasan dan kritikan adalah layak dianggap “fair use”.
  2. Petikan yang digunakan dalam karya penyelidikan seperti tesis akademik dan laporan kajian yang diterbitkan dalam bentuk jurnal akademik adalah layak dianggap “fair use”. Tujuan penulisan tesis dan artikel jurnal akademik adalah bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Ia yang tidak mendatangkan keuntungan kewangan kepada penulis. Maka munasabahlah petikan-petikan yang dilakukan itu layak dianggap “fair use” dan tidak diwajibkan mendapat izin bertulis daripada pemilik hakcipta.
Sesuatu petikan itu tidak lagi layak dikatakan “fair use” apabila dalam keadaan berikut:
  1. Penulis menulis buku dan dalam buku itu jumlah petikan-petikan yang dibuat itu melebihi 10% daripada kandungan buku, ataupun melebihi 1,000 perkataam sahaja (whichever is less). Jika jumlah itu kurang, tetapi penulis tidak memberikan maklumat sumber petikan yang dilakukannya itu, maka perbuatan itu tidak layak dianggap “fair use”.
  2. Penulis menulis buku, dan buku itu dijual bagi tujuan yang menguntungkan dirinya. Dalam kes ini, penulis membuat petikan dengan menyebutkan sumber petikannya, tetapi apabila jumlah petikan-petikan itu melebihi 10% ataupun 1,000 perkataan, maka itu tidak lagi layak dianggap “fair use”, oleh itu wajib mendapatkan izin bertulis.
Perbuatan menyalin ayat-ayat hasil kerja pengarang ataupun penterjemah lain tanpa melakukan 'acknowledgement' dengan cara-cara yang betul, walaupun hanya sepotong ayat sekalipun, apatah lagi apabila jumlahnya lebih daripada 10% ataupun lebih daripada 1,000 perkataan, adalah salah dan melanggar undang-undang hakcipta. Perbuatan itu disebut dengan istilah “plagiarisme”.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/undang_undang_hakcipta_apa_itu_fair_use/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Prosedur Menterjemah Buku

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)
Entri ini ditulis khusus untuk tuan dan puan yang amat berminat menterjemah buku ke dalam Bahasa Melayu.

(1) Pertama-tama jangan menterjemah dahulu. Sebelum menterjemah kita wajib mendapatkan lesen (a) hak menterjemah dan (b) hak menerbitkan terjemahan itu daripada pemegang harta intelek buku tersebut, yang mungkin penulisnya sendiri ataupun penerbit asal buku itu, ataupun waris keturunannya. Izin itu mesti secara bertulis.

(2) Bagi buku-buku yang sudah menjadi harta awam (public-domain), kita tidak perlu mendapatkan hak menterjemahkan karya itu. Tetapi jangan menterjemah dahulu. Dapatkah dahulu komitmen daripada mana-mana penerbit yang berminat menerbitkan terjemahan tersebut. Jika tidak, tuan penat menterjemah tetapi tidak ada penerbit yang berminat menerbitkannya.

(3) Penerbit asal lazimnya tidak berminat memberi hak menterjemah dan hak menerbitkan kepada individu. Mereka hanya mahu berurusan dengan penerbit yang dapat mereka percayai sahaja. Justeru, urusan mendapatkan hak menterjemah adalah urusan penerbit, bukan urusan penterjemah.

(4) Lazimnya yuran lesen hak menterjemah dan hak menerbitkan adalah tinggi dan dibayar sebelum hak itu diberikan, dan transaksi adalah dalam dolar US ataupun Euro. Hak itu pula ada tempoh tamatnya.

NOTA:

1. PTS adalah sebuah penerbit yang komited menerbitkan buku-buku terjemahan yang laku dalam pasaran dan bermanfaat kepada perjuangan PTS "memandaikan bangsa".

2. PTS mempunyai senarai judul-judul yang dirancang terjemahannya bagi tiap-tiap tahun. Jadi, buku yang akan diterbitkan pada tahun hadapan sudah diuruskan proses pelesenannya pada tahun ini.

3. PTS mempunyai senarai penterjemahnya yang dilatih sendiri oleh PTS bagi memastikan kualiti buku-buku terjemahan PTS adalah yang paling tinggi di negara ini.

4. PTS menawarkan sistem ganjarannya sendiri kepada penterjemah, yang tidak serupa dengan sistem  ganjaran penerbit-penerbit seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ataupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ataupun Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).



(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/prosedur_menterjemah_buku/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Menterjemah Lebih Menguntungkan daripada Menulis Karya Asli

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

*Al-Fatihah buat Arwah Tuan Imran Yusof

--------------------------------------------

Tn. Imran Yusof menulis karya asal dan juga menterjemah buku-buku terbitan PTS.

Beliau memberitahu, bagi pendapatan royalti 2008, ada perkara yang sangat menarik dalam laporan prestasi jualan buku-bukunya.

Menurut beliau, walaupun bagi buku bisnes yang diterjemahkannya beliau hanya menerima 30% royalti (70% diberikan kepada penerbit dan pengarang), namun beliau menerima jumlah wang yang lebih banyak daripada jualan buku terjemahan dibandingkan dengan royalti daripada karya asal beliau sendiri. Antara faktor yang menyebabkan situasi begini adalah kerana harga buku terjemahan relatif tinggi.

NOTA: Tuan Imran adalah seorang eksekutif kanan di bahagian teknikal sebuah syarikat perkapalan.
Beliau adalah antara peserta kursus PTS yang belajar menulis dari sifar.

Sehingga kini (artikel ini ditulis pada 22 oktober, 2009), beliau sudah menerbitkan 2 buah karya sendiri, 1 karya bersama, 3 terjemahan sendiri, 2 terjemahan bersama, 3 karya belum terbit, dan 3 lagi sedang diusahakan.

 (Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/menterjemah_lebih_menguntungkan_daripada_menulis_karya_asli/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Kedudukan Hakcipta Karya Terjemahan

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Katakanlah, tuan seorang peminat Yokio Mishima. Tuan sudah menterjemahkan karya mendiang penulis pemenang Nobel Prize itu ke dalam Bahasa Melayu, tetapi tuan menterjemahkannya dengan tidak meminta izin daripada pihak yang memiliki hakcipta karya itu.

Dalam keadaan begini, kedudukan tuan adalah seperti berikut:

1. Apabila tuan menterjemah karya orang lain, maka hakcipta ke atas terjemahan yang tuan hasilkan itu adalah hak tuan. Tidak kiralah apakah tuan mendapat izin ataupun tidak daripada pemilik hakcipta karya asal.

2. Walau bagaimanapun, tuan hanya boleh menerbitkan terjemahan tuan itu dengan meminta izin daripada daripada pemilik hakcipta karya asal. Ertinya, tuan hanya boleh menyimpan sahaja terjemahan tuan itu untuk bacaan tuan sendiri.

3. Orang lain pula tidak boleh menerbitkan hasil terjemahan tuan itu tanpa izin daripada tuan. Ertinya, jikalau ada orang lain menerbitkan terjemahan tuan itu tanpa izin  tuan, orang itu sudah mencuri hakcipta tuan. 

Itulah sebabnya, penterjemah mesti meminta izin daripada pemilik hakcipta sesuatu karya sebelum menterjemahkan karya itu.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/kedudukan_hakcipta_karya_terjemahan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Dasar, Mazhab Teori dan Teknik Terjemahan PTS

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Para penterjemah sentiasa dipersoal apakah terjemahan yang mereka lakukan itu 'betul' ataupun 'tidak betul'.

Semua buku teori terjemahan menekankan peri pentingnya teks asal diterjemahkan dengan betul.

Secara konvensional, salah satu ciri 'terjemahan betul' adalah semua maklumat dalam teks asal hendaklah dipindahkan dengan tepat dan sepenuhnya, tidak boleh ada maklumat yang sengaja tidak dipindahkan. Inilah mazhab terjemahan yang diajarkan dalam mana-mana kursus terjemahan, dalam negara dan luar negara.

Mazhab terjemahan di PTS berbeza. Ini kerana, apabila kita ditanya "Adakah terjemahan buku ini betul?", soalan itu perlu dijhawab dengan mengemukakan soalan, "Betul untuk siapa?"

PTS mempunyai dasar bisnesnya sendiri. Dasar bisnes PTS adalah menerbitkan buku-buku yang mematuhi syariah dan memandaikan bangsa. Dasar bisnes PTS ini diterjemahkan ke dalam semua buku yang diterbitkan oleh PTS, termasuklah buku-buku terjemahan dari bahasa-bahasa lain.

Ini bermakna, ayat-ayat dalam bahasa asal yang bertentangan dengan syariah tidak diterjemahkan. Sebagai contoh, dalam buku-buku motivasi dan pembangunan diri, ayat-ayat yang berupa petikan dari kitab-kitab agama lain tidak diterjemahkan secara langsung, yakni secara perkataan demi perkataan.

Begitu juga maklumat yang tidak selaras dengan budaya tempatan juga tidak diterjemahkan. Sebagai contoh, istilah 'partner' yang merujuk kepada hubungan lelaki perempuan yang tinggal serumah dengan tidak bernikah akan disesuaikan dengan budaya tempatan yang hanya membenarkan hubungan suami isteri.

Disebabkan PTS mempunyai dasar dan mazhab terjemahannya sendiri, maka PTS melatih kumpulan penterjemahnya sendiri supaya mereka mempunyai kemahiran tinggi dalam menangani pelbagai jenis maklumat dalam buku-buku yang diterjemahkan.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/dasar_editorial_terjemahan_pts/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Adlie Shamsuddin dalam Kenangan: Al- Fatihah

Alfatihah buat arwah. Rakan yang baik dan penterjemah hebat!

-Tim
8 Mac 2012

-------------

Ahad 29 Mei 2011, selepas waktu Asar, Tn. Adlie Shamsuddin meninggalkan seorang ibu, seorang isteri dan dua orang anak lelakinya, kerana pulang ke Negeri Abadi.

Allahyarham pergi ke surau dengan anak lelakinya bagi menunaikan solat Asar dan rebah di surau itu.

Beliau adalah penterjemah PTS yang sangat berdisiplin dan sangat tinggi kualiti terjemahannya. Beliau juga seorang yang sangat pandai bekerjasama sebagai anggota Tim PTS.

Meskipun beliau adalah penterjemah professional sepenuh masa, setiap hari beliau beliau datang ke pejabat editorial PTS dan menjalankan kerja-kerja terjemahan buku PTS bersama-sama dengan para editor. Oleh hal yang demikian beliau dilayan seolah-olah staf PTS dan beliau juga membawa diri seperti staf PTS.

Beliau diperkenalkan kepada saya oleh Puan Fred Suriya, penulis bersama siri Adam Kecil. Mereka pernah menjadi rakan sejawat sebagai penterjemah di sebuah syarikat swasta.

Kita sangat berdukacita kerana tidak dapat lagi bersama beliau. Mudah-mudahan Allah menempatkan ruh beliau bersama-sama ruh mereka yang dikasihiNya. Amin... Amin...

Beliau banyak meninggalkan karya terjemahan yang sangat tinggi mutunya seperti Mengapa Rasullullah Tidak Pernah Sakit, Men Are From Mars, Women Are From Venus, dan Quranic Super Healing.

.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/dalam_kenangan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Bakat Bahasa Melayu

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

PTS mempunyai Tim Penterjemah sendiri yang dipilih, dilatih dan diuji sendiri oleh PTS dengan menggunakan kriteria sangat ketat.


Syarat paling penting menjadi penterjemah adalah memiliki bakat bahasa dan bakat mengarang, kerana menterjemah adalah mengarang semula.

Bakat bahasa itu adalah dalam bahasa penerima sesuatu terjemahan. Jika terjemahan itu dilakukan ke dalam Bahasa Melayu, maka bakat bahasa itu adalah bakat dalam Bahasa Melayu.

Penterjemah ke dalam Bahasa Melayu perlu menguasai Bahasa Melayu pada peringkat tinggi. Ini hanya dapat dicapai dengan banyak membaca buku-buku yang ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Ada penterjemah mengambil masa satu bulan untuk tidak membuat sebarang kerja terjemahan, sebaliknya beliau banyak membaca buku-buku berkualiti tinggi dalam Bahasa Indonesia bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu Tinggi beliau.

Menurut beliau, membaca buku dalam Bahasa Indonesia sangat penting kerana penguasaan bahasa di kalangan penulis Indonesia adalah sangat tinggi. Daripada buku-buku itu beliau mempelajari penggunaan perkataan dalam konteks frasa-frasa yang tidak digunakan oleh penulis tempatan. Frasa-frasa itu dapat digunakan apabila beliau menterjemah.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/bakat_mengarang_dan_bakat_bahasa/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Zaman Penulis dan Penterjemah ‘Miskin’ Sudah Berlalu

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Semakin banyak penulis dan penterjemah PTS mampu melancong ke luar negara ataupun membeli tiket menunaikan ibadah umrah untuk diri sendiri mahupun untuk ibu bapa.

Cik Waida Kmy adalah penulis dan penterjemah PTS. Beliau adalah seorang jurutera di sebuah syarikat minyak.

Baru-baru ini beliau mengembara secara back-pack selama 15 hari ke Eropah, dari London sehingga sampai ke Prague di Yugoslavia.

Zaman penulis ataupun penterjemah hidup 'miskin' sudah berlalu.

Industri penerbitan buku dalam Bahasa Melayu sedang berkembang dengan menggebu-gebu. Banyak penerbit buku Melayu menjadi kaya raya. Jadi, sudah sampai masanya penulis dan penterjemah juga berpeluang membuat duit. Ini memerlukan perancangan yang baik. Dalam apa-apa bidang sekalipun, apabila kita mahu membuat duit, kita perlu merancang dengan teliti bagaimana duit itu dapat diperoleh.

Menulis dan menterjemah adalah sumber pendapatan pasif yang sangat bagus. Tulislah, dan terjemahlah, buku-buku yang mendatangkan pendapatan pasif yang lama, sehingga berbelas-belas tahun, ataupun berpuluh-puluh tahun.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/zaman_penulis-penterjemah_miskin_sudah_berlalu/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Bagaimana PTS Memilih Penterjemah

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Pada masa ini PTS adalah penerbit buku-buku terjemahan yang paling aktif dalam pasaran.

Beginilah prosedur PTS memilih penterjemah:

1. Dari waktu ke waktu, apabila PTS memerlukan tambahan penterjemah baru, maka iklan kursus terjemahan akan dibuka.

2. Calon penterjemah akan mengikuti kursus dan akan diuji. Hanya mereka yang lulus ujian dengan gred A sahaja yang akan diterima untuk kursus lanjutan dari masa ke masa.

Lazimnya, tidak sampai 10% daripada peserta kursus yang mengambil ujian akan lulus dengan gred A.

Faktor utama yang menyebabkan majoriti gagal mendapat Gred A adalah penguasaan Bahasa Melayu mereka tidak cukup tinggi. Ini disebabkan mereka tidak banyak membaca buku-buku yang bagus dalam Bahasa Melayu.

Justeru calon penterjemah perlu banyak membaca dalam Bahasa Melayu, dan lebih baik lagi mereka juga banyak membaca buku-buku dalam Bahasa Indonesia.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/bagaimana_pts_memilih_penterjemah2/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Menghimpun Harta Intelek Sebagai Penterjemah Fiksyen

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

PTS sudah menguji pasaran novel-novel popular genre misteri dan triler yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, dan data jualan menunjukkan pasaran itu ada.

Dua faktor yang sangat mempengaruhi jumlah jualan novel terjemahan adalah:
(i) Judul yang sedia sudah laku keras dalam bahasa Inggerisnya.
(ii) Mutu terjemahan Bahasa Melayunya.

Dengan memberikan perhatian serius kepada 2 faktor itu, sesebuah penerbit dapat survive meskipun hanya dengan menerbitkan buku-buku terjemahan sahaja.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/tip_survival_penerbit_pasaran_novel_popular_terjemahan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Berkongsi Royalti di PTS

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Banyak buku terbitan PTS, royaltinya dikongsi oleh 2 ataupun lebih pihak:
(i) Royalti dikongsi oleh pengarang-pengarang bersama
(ii) Royalti dikongsi oleh pengarang dan ilustrator
(iii) Royalti dikongsi oleh pengarang dan penterjemah
(iv) Royalti dikongsi oleh pengarang dan pencipta cerita

Pembahagian nisbah royalti ditetapkan dengan beberapa cara:

(i) Semua pemilik hakcipta berpakat dan bersetuju formula pembahagian royalti antara mereka, dan PTS ikut sahaja.

(ii) PTS akan menilai sumbangan setiap pihak dan mencadangkan formula pembahagian royalti yang adil berdasarkan sumbangan masing-masing. Lazimnya inilah yang berlaku di PTS.

(c) PTS mencadangkan formula yang adil, tetapi ada pihak dengan rela hati memberikan lebih bahagiannya kepada rakannya. Katakanlah, PTS mencadangkan 50-50, tetapi ada pihak berasa dia cukup dengan 40 sahaja, maka diberikan tambahan 10 kepada rakannya.

Lazimnya formula itu ditetapkan selepas selesai kerja penulisan, sebab pada waktu itu barulah dapat diketahui senang susah sumbangan masing-masing pemilik hakcipta.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/berkongsi_royalti_di_pts/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:


Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival: Penulis Mesti Fikirkan Nasib Bukunya dari Sudut Bisnes

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Zakat bagi royalti yang diterima oleh penulis, penterjemah, pekomik dan ilustrator dari syarikat penerbit jatuh dalam kategori zakat bisnes, yakni zakat perniagaan. Oleh hal yang demikian formula kiraannya berbeza daripada zakat gaji ataupun upah kerja.

Tidak terkecuali adalah zakat royalti dan honorarium yang diterima oleh penulis-penulis yang dilabelkan sebagai 'sasterawan'.

Justeru setiap penulis, baik sasterawan mahupun penterjemah, pekomik dan ilustrator adalah orang bisnes. Makanya mereka perlu mempunyai mindset bisnes apabila berkarya.

Penerbit adalah orang-orang bisnes (kecuali penerbit yang dimiliki oleh pemerintah, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara Malaysia yang gaji mereka dibayar menggunakan wang dari tabung negara).

Dalam dunia bisnes, isu kos, untung dan rugi adalah faktor yang menjadi asas segala keputusan yang mereka ambil sama ada akan menerbitkan sesuatu manuskrip ataupun menolaknya.

Kos minimum bagi menerbitkan, mempromosi dan memasarkan sesebuah buku adalah antara RM15 - RM20 ribu. Jadi, logiklah jika penulis perlu menghasilkan manuskrip yang mendorong mana-mana penerbit berani mengeluarkan wang sebanyak itu bagi menerbitkannya. Apatah lagi wang itu datang daripada pinjaman bank, yang terpaksa dipusingkan, dan kemudian dipulangkan semula kepada bank.

Zaman penulis menulis demi mencari kepuasan sudah berlalu, melainkan apabila penulis mahu menerbitkan sendiri karyanya.

Menulis demi kepuasan emosi tidak membantu apabila seseorang itu mahu hidup sebagai penulis sepenuh masa.

Dalam kehidupan realiti, apabila seseorang penulis itu sudah menikmati 'kepuasan ekonomi' barulah akan ada peluang mendapatkan 'kepuasan emosi'.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/tip_survival_penulis_penulis_mesti_fikirkan_nasib_bukunya_dari_sudut_b/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penulis dan Penterjemah: Bakat Bahasa versus Modal Bahasa

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Penulis dan penterjemah adalah "pekerja bahasa" (language worker). Sesiapa sahaja yang bekerja menggunakan bahasa sebagai modal utama, mereka termasuk dalam kategori pekerja bahasa.

Dua modal utama bagi mencapai kejayaan sebagai pekerja bahasa adalah:

1. Bakat bahasa (linguistic talent)
Sebagaimana dengan bakat-bakat lain, bakat bahasa adalah anugerah Tuhan. Termasuk dalam bakat bahasa adalah kepandaian:
(a) Memilih perkataan dan makna perkataan
(b) Menyusun ayat
(c) Mencipta frasa
(d) Mencipta peribahasa, dan lain-lain kemahiran berbahasa.

Seseorang yang bakat bahasanya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik penulisan, hasil karangan mereka tidak cukup tinggi. Ia ibarat penyanyi yang bakat nyanyiannya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik seni suara, mutu nyanyian mereka tidak tinggi.

Apabila seseorang itu mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian dia belajar pula teknik-teknik penulisan yang betul, mereka menjadi sangat produktif manakala mutu karangan yang mereka hasilkan akan sangat tinggi.

Begitulah yang berlaku kepada pengarang seperti Abdul Latip Talib. Beliau mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian belajar teknik-teknik penulisan novel sejarah yang betul. Dengan kombinasi bakat dan teknik itu maka beliau dapat mghasilkan banyak karya dalam masa yang singkat dengan kualiti yang tinggi.

2. Modal bahasa (language capital)
Bakat adalah ibarat pemandu kereta Formula 1. Modal bahasa adalah ibarat kereta Formula 1 itu sendiri.  Hanya apabila pemandu Formula 1 memandu kereta Formula 1, barulah kombinasi itu melayakkan mereka masuk balapan Formula 1.

Modal bahasa adalah data bahasa yang terakam dalam memori. Unsur-unsur modal bahasa adalah:
(a) Berapa ribu perkataan
(b) Berapa ribu frasa
(c) Berapa ribu peribahasa
(d) Berapa ribu pola-pola struktur ayat, yang tersimpan dalam memori.

Justeru modal bahasa adalah bank data bahasa dalam otak penulis. Semakin besar jumlah data bahasa yang terakam dalam memorinya, semakin besar modal bahasanya.

Seseorang itu mungkin mempunyai bakat bahasa yang baik, tetapi jika saiz bank data bahasa yang terakam dalam memorinya kecil, dia tidak dapat menghasilkan karangan yang bermutu.

Saiz memori bahasa ditentukan oleh jumlah buku-buku dan genre buku yang pernah dibaca. Orang yang membaca buku-buku kejuruteraan akan mempunyai data bank bahasa yang dipenuhi oleh bahasa kejuruteraan. Mereka dapat menulis dan menterjemah buku-buku kejuruteraan.

Bagi penulis dan penterjemah sastera, kita perlu memiliki saiz bank data bahasa sastera yang besar. Itu bermakna kita perlu banyak membaca buku-buku sastera. Dengan menggunakan data itu barulah kita dapat menghasilkan ayat-ayat yang bermutu sastera.

Inilah yang dilakukan oleh 2 orang pengarang PTS, Firdaus Ariff (Armada Azur) dan Zahiruddin Zabidi (Rabiatul Adawiyah). Mereka berdua telah membeli dan membaca semua novel-novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib sebelum memulakan proses menulis karya mereka sendiri.

Apabila kita membaca novel-novel picisan, memori kita hanya menyimpan perbendaharaan kata, frasa, dan struktur ayat-ayat picisan. Memori bahasa picisan hanya dapat menghasilkan ayat-ayat piicisan. Ia tidak dapat menghasilkan ayat-ayat sastera.

Bak kata pepatah Tamil: Apa yang ada di dalam senduk, itulah yang ada di dalam periuk.

 (Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/tip_survival_penulis_dan_penterjemah_bakat_bahasa_versus_modal_bahasa1/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Terjemahan Hadis: Kanak-Kanak pun Faham

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Apabila Nabi Muhammad bercakap, apa yang beliau percakapkan itu dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mendengarnya, sehingga kanak-kanak pun faham. Begitulah jelasnya ciri percakapan Nabi Muhammad.

Tetapi kata-kata Nabi Muhammad yang begitu mudah dan jelas dalam bahasa Arabnya, apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, orang yang pernah belajar agama di universiti Jordan pun belum tentu faham! Inilah yang pernah dialami oleh pasukan penterjemah buku "Riadhus Salihin" susunan Imam Nawawi. Penyemak projek itu adalah Prof. Madya Dr. Arief Salleh Rosman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sesekali penterjemah PTS tidak faham teks terjemahan Melayu-Indonesia yang sudah terbit. Mereka pun bertanya kepada Dr. Arief apa makna terjemahan itu. Apabila beliau pun tidak faham teks Melayu-Indonesianya, beliau terpaksa membaca teks Arab hadith berkenaan dalam "Riadhus Salihin" edisi Arab, barulah beliau faham.

Ciri "boleh faham" ini ciri yang sangat penting dikekalkan dalam terjemahan hadith. Jangan sampai orang yang membaca terjemahan itu terpaksa bertanya kepada pakar-pakar agama, ataupun membuka  kamus-kamus Arab.

Apabila makna ayat terjemahan kata-kata Nabi Muhammad itu tidak difahami, padahal dalam teks Arabnya ia sangat mudah dimengerti, maka dari sudut etika-ilmu, sebagai penterjemah kita sudah melakukan kesalahan, kerana kita memberi gambaran yang salah tentang kemahiran-berbahasa dan kemahiran-berkomunikasi Nabi Muhammad.

Beliau seorang yang mempunyai profisiensi bahasa yang amat tinggi. Apabila beliau bercakap, orang kafir pun faham. Malah, musuh-musuhnya pun faham. Paderi-paderi Yahudi dan Kristian pun faham.
Justeru kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad perlu diterjemahkan dengan menggunakan bahasa yang orang kafir pun faham. Ini adalah sunnah bahasa dan sunah komunikasi Nabi Muhammad.

Tetapi, banyak teks terjemahan hadis dalam Bahasa Melayu, jangankan orang kafir, sesama ustaz pun tidak faham!

NOTA: Terjemahan Melayu-Indonesia buku "Riadhus Salihin" sudah diterbitkan sekurang-kurangnya dalam 6 edisi terjemahan, oleh pelbagai penerbit di Indonesia, dan diimport serta dijual di kedai-kedai buku Malaysia.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/terjemahan_hadis_kanak-kanak_pun_faham/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Trend Pasaran Buku-Buku Professional Terjemahan

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

PTS adalah penerbit buku profesional terjemahan yang paling aktif dan paling konsisten. Tiap-tiap bulan PTS menerbitkan 2 judul terjemahan dalam kategori buku profesional.

Jualan buku-buku profesional tidaklah meletup-letup, tetapi ia konsisten sepanjang tahun. Semua judul terjemahan dalam kategori buku profesional diulang cetak.

Meskipun tidak meletup-letup, tetapi disebabkan judul-judul yang dipilih oleh PTS adalah judul yang bertahan lama dalam pasaran, pada jangka masa panjang judul-judul itu menguntungkan.

Cabaran paling penting dalam penerbitan buku terjemahan adalah mendapatkan kualiti terjemahan yang sangat tinggi. Di PTS, ini dilakukan dengan melatih sendiri pasukan penterjemahnya.

PTS hanya mengambil penterjemah yang mencapai mutu Gred A.

Mereka yang berminat menterjemah untuk PTS wajib mengikuti siri latihan PTS. Mereka wajib lulus ujian-ujian teknikal PTS yang sangat ketat.

Ujian pertama yang diambil adalah ujian bakat bahasa, dan 97%  yang menduduki ujian ini gagal.

Faktor utama yang menyebabkan mereka gagal adalah penguasaan Bahasa Melayu Tinggi  yang lemah disebabkan mereka tidak banyak membaca buku yang menggunakan bahasa Melayu dan Indonesia yang baik.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/trend_pasaran_buku_terjemahan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

PTS akan Meningkatkan Jumlah Judul Terjemahan

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Pasaran buku-buku terjemahan dalam Bahasa Melayu adalah bagus dan permintaan sentiasa ada kerana 3 faktor:

1. Jumlah judul hasil tulisan penulis tempatan tidak cukup banyak.

2. Mutu isi kandungan buku-buku dari luar banyak yang sangat bagus.

3. Sifat peminat buku yang mahu membaca bahan-bahan dari pelbagai sumber luar.

Pembaca buku-buku Melayu semakin matang dan kompleks. Mereka tidak mahukan buku-buku asas lagi. Mereka mahukan bahan-bahan bacaan yang lebih advans.

Ini mendorong PTS memperbanyakkan penerbitan judul-judul terjemahan yang ditargetkan kepada golongan kelas menengah Melayu.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/pts_akan_meningkatkan_jumlah_judul_terjemahan/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Pasaran Buku Terjemahan

Pasaran buku terjemahan dalam Bahasa Melayu adalah laut yang masih biru. Laut ini tidaklah besar tetapi ikan dapat hidup dalam laut ini.

Data jualan PTS dan maklumat risikan dari kedai yang dilakukan oleh tim jabatan sales PTS menunjukkan trend berikut:

1. Buku terjemahan yang paling laku adalah dalam sektor agama. Sektor ini paling besar.

2. Ada 2 sumber buku agama yang bagus pasarannya:

a. Judul-judul daripada bahasa Arab. Ini dapat dilakukan dengan menghantar pegawai ke pesta-pesta buku di Timur Tengah bagi menjalin hubungan dengan pemegang harta intelek. Penerbit Arab lebih selesa berurusan mata-dengan-mata.

b. Judul-judul agama karya penulis Indonesia.

3. Bagi judul terjemahan dari bahasa Inggeris, pasarannya lebih kecil dibandingkan dengan pasaran buku agama. Judul yang laku juga berpilih-pilih. Apa yang sangat laku di Amerika belum tentu sangat laku dalam pasaran Malaysia.

4. Judul Amerika yang mempunyai pasaran di Malaysia adalah dalam sektor pembangunan diri.

5. Terjemahan novel-novel teenlit dan ciklit dari Barat tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Pasaran remaja tempatan lebih suka membaca karya penulis tempatan.

6. PTS sekarang sedang melakukan eksperimen membuka laut biru buku terjemahan dalam sektor kanak-kanak.

 (Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/pasaran_buku_terjemahan2/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Lesen Hak Menterjemah adalah Urusan Penerbit

Masih ada penterjemah yang mengambil daya usaha sendiri menterjemahkan buku kesukaan mereka ke dalam Bahasa Melayu, dengan harapan selepas selesai diterjemahkan dia akan menghantarkan terjemahan itu kepada penerbit buku bagi diterbitkan.

Sebelum menterjemahkan buku, terlebih dahulu lesen hakcipta buku itu perlu dipohon daripada pemilik hakcipta karya tersebut. Ini adalah urusan penerbit, bukan urusan penterjemah, kerana pihak penerbit buku asal mahu bekerjasama antara penerbit dengan penerbit bagi menjaga kepentingan bisnes masing-masing.

Penerbit tidak mahu berurusan dengan penterjemah kerana dari sudut bisnes mereka sukar jika hendak menagih hutang royalti buku terjemahan itu dari individu, manakala ia lebih mudah dilakukan antara syarikat dengan syarikat.

Tiap-tiap syarikat penerbitan mempunyai strategi mereka sendiri bagaimana mahu menceburi pasaran terjemahan. Dengan demikian mereka mempunyai judul-judul yang mereka pilih sendiri bagi diterjemahkan.

 (Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/lesen_hak_menterjemah_adalah_urusan_penerbit/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Strategi Pemerolehan Bahasa

Istlilah 'pekerja bahasa' (language workers) bermakna individu yang hidup dengan melakukan kerja-kerja di mana penguasaan bahasa menjadi modal utamanya.

Contoh 2 golongan pekerja bahasa adalah editor dan penterjemah.

Bagi pemain bola, menguasai skill bermain bola menjadi modal utama. Bagi memperoleh skill bermain bola strateginya adalah dengan berulang-ulang kali bermain bola dengan pemain-pemain yang berkualiti. Bermain bola dengan pemain-pemain yang lemah skillnya tidak membolehkan kita meningkatkan skill permainan kita.

Bagi pekerja bahasa Melayu, menguasai skill bahasa Melayu menjadi modal utama.

Bagi memperoleh skill bahasa Melayu yang tinggi strateginya adalah dengan membaca bahan-bahan yang ditulis menggunakan bahasa Melayu yang berkualiti tinggi. Membaca bahan-bahan yang ditulis dalam bahasa Melayu berkualiti rendah tidak dapat menjadikan kita menguasai bahasa Melayu tinggi.

Apabila kita menterjemah, kita menggunakan ayat-ayat bahasa Melayu yang sedia terakam dalam memori kita.  Kita tidak mungkin dapat menuliskan ayat-ayat yang tidak ada dalam memori kita. Buktinya, jika dalam memori kita tidak tersimpan rakaman ayat-ayat dalam bidang undang-undang kita tidak akan dapat menterjemah teks undang-undang.

Sebagai pekerja bahasa, modal kita adalah jumlah ayat bahasa tinggi yang terakam dalam memori kita. Ini dapat ditingkatkan hanya melalui proses membaca bahan-bahan dalam bahasa Melayu tinggi.

Teknik membaca yang paling efektif bagi tujuan merakamkan data bahasa ke dalam memori adalah dengan membaca gaya mulut berbunyi.

 (Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/menjadi_penterjemah_straegi_pemerolehan_bahasa/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Menguasai Genre Bahasa

Penterjemah perlu membina brand masing-masing, yakni mereka perlu dikenali sebagai penterjemah genre apa?

Brand adalah 'nama baik'. Produk yang memilik nama baik menjadi pilihan utama pembeli. Fungsi aktiviti pemasaran adalah membina nama  baik sesuatu produk.

Brand adalah profit. Tidak ada brand tidak ada profit.

Penterjemah yang mempunyai brand akan dapat hidup selesa dalam pasaran.
Bagi membangunkan diri sebagai suatu brand yang terkenal, penterjemah perlu mengenal pasti genre apa yang akan menjadi brand bagi nama masing-masing.

Jika mahu menjadi penterjemah buku-buku pembangunan diri, maka asas kekuatannya adalah membaca banyak buku pembangunan diri dalam Bahasa Melayu, terutama sekali buku-buku genre itu dalam Bahasa Indonesia.

Dengan membaca buku-buku pembangunan diri dalam Bahasa Indonesia maka banyak perkataan, frasa dan ayat-ayat pembangunan diri akan terakam dalam memori. Ayat-ayat itulah yang kemudian digunakan apabila sedang menterjemah.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/tip_survival_penterjemah_menguasai_genre_bahasa/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Tip Survival Penterjemah: Isu Istilah Teknikal

Salah satu isu yang banyak dibincangkan oleh penterjemah adalah isu istilah yang digunakan dalam teknologi terbaru.

Istilah  dalam bahasa Inggeris itu belum ada padanannya dalam bahasa Melayu sebab Dewan Bahasa dan Pustaka belum menciptanya.

PTS mempunyai dasar penciptaan dan peminjaman istilahnya sendiri, dan  ini diamalkan oleh Jabatan Editorial sebagai dasar rasmi PTS.

Apabila istilah dalam bahasa Inggeris itu:
1. Sudah digunakan oleh semua penggiat bidang itu: Pinjam terus istilah itu.
2. Digunakan oleh semua bahasa-bahasa utama dunia: Pinjam terus istilah itu.
3. Istilah itu adalah nama konkrit: Pinjam terus istilah itu.
4. Istilah itu adalah nama pada paparan dalam skrin sofwer: Pinjam terus istilah itu dan kekalkan ejaan asal.

(Artikel Asal: http://universitipts.com/index.php/site/comments/terjemahan_isu_istilah_teknikal/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Tip Survival Penterjemah: Belajar dengan Membaca Terjemahan yang Baik

Salah satu cara mendapatkan skill menghasil terjemahan yang berkualiti tinggi adalah dengan membaca hasil terjemahan penterjemah lain yang karya mereka sangat laku dalam pasaran.

Caranya dengan memeriksa terjemahan mereka. Semak cara mereka menterjemahkan ayat-ayat dalam teks asal ke dalam bahasa Melayu yang mudah dan sedap dibaca, dan tiru gaya terjemahan mereka itu.

Ciri 'sedap dibaca' adalah ciri paling penting dalam menghasilkan buku terjemahan yang laku.
Apa-apa produk sekalipun mesti berkualiti 'sedap' baru ia laku dijual - sedap dimakan, sedap dipakai, sedap ditengok, sedap dipandu....

Terjemahan yang tidak sedap dibaca adalah terjemahan yang salah.

Ahli-ahli teori terjemahan mungkin tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh penterjemah buku-buku yang laku itu. Tetapi penerbit bukan menerbitkan buku terjemahan untuk dijual kepada ahli-ahli teori terjemahan.

Dalam bisnes buku, yang paling penting adalah kedai buku suka menjual buku-buku itu. Pembeli buku pun suka membelinya. Pembaca buku pun suka membacanya.

Kita menterjemah buku supaya buku itu laku keras dalam pasaran. Sebanyak mana buku terjemahan itu laku dijual, maka itu adalah indikasi sebanyak mana orang ramai sudah dapat memanfaatkan ilmu dan maklumat dalam buku itu.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penterjemah_belajar_dengan_membaca_terjemahan_yang_baik/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Tip Survival Penterjemah: Tiap-Tiap Rumah Penerbitan Mempunyai Dasar Editorialnya Sendiri

Dari sudut dasar editorial, menerbitkan buku terjemahan dan buku karya asli adalah serupa sahaja.

Tiap-tiap rumah penerbitan mempunyai dasar bahasanya sendiri. Ada rumah penerbitan yang menerima penggunaan bahasa pasar, manakala ada rumah penerbitan yang menolak bahasa pasar.

Dalam isu peminjaman perkataan, istilah dan jargon daripada bahasa asing, ada rumah penerbitan yang lebih suka menggunakan bahasa Melayu, manakala ada rumah penerbitan yang suka menggunakan kata pinjaman.

Ada rumah penerbitan yang menjadikan isu 'memelihara identiti' bahasa Melayu sebagai perkara yang dianggap serius, manakala ada rumah penerbitan yang menjadikan isu 'praktikaliti bahasa' sebagai objektif di sebalik dasar peminjaman yang liberal.

Jadi, penterjemah perlu menyelaraskan gaya bahasa terjemahannya dengan dasar editorial setiap rumah penerbitan.

(Artikel Asal: http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penterjemah_tiap-tiap_rumah_penerbitan_mempunyai_dasar_ed/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Tip Survival Penterjemah: Bakat Menterjemah adalah Spesifik

Penterjemah yang bagus dapat hidup sepenuh masa dengan menggunakan bakat dan kemahirannya.

Antara faktor paling penting dalam kejayaan sebagai penterjemah adalah:

1. Pilih genre yang sesuai dengan bakat
Apabila mahu menjadi penterjemah, pilih genre yang paling sesuai dengan bakat bahasa yang dimiliki.

a. Orang yang memiliki bakat bahasa sastera sesuai menterjemahkan karya-karya sastera.
b. Orang yang memiliki bakat bahasa teknikal sesuai menterjemah teks-teks teknikal.
c. Gaya bahasa buku-buku agama memerlukan bakat bahasa yang sesuai dengan teks agama.
d. Buku-buku motivasi juga memerlukan bakat bahasanya yang tersendiri.

2. Kuasai laras bahasa Melayu bagi genrenya
Ini dapat dilakukan dengan banyak membaca buku-buku dalam bahasa Melayu bagi genre yang berkenaan. Apabila banyak membaca barulah akan terakam jargon, istilah dan frasa-frasa dalam bidang itu dalam bahasa Melayu.

Membaca dalam bahasa Melayu adalah sangat kritikal peranannya kerana kita akan menterjemah ke dalam bahasa Melayu.

 (Artikel asal:http://universitipts.com/index.php/site/comments/bakat_menterjemah_adalah_spesifik/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Tip Survival Penterjemah: Pasaran Buku Terjemahan



Pada masa ini pasaran buku-buku terjemahan adalah masih muda. Ia pasaran buku matahari terbit.

Jumlah penerbit yang menekuni sektor ini belum banyak. Judul yang dibekalkan ke dalam pasaran pun belum banyak. Pada masa yang sama permintaan untuk judul terjemahan sentiasa ada kerana penulis tempatan tidak dapat membekalkan buku-buku seperti itu.

Bagi penerbit yang berminat melabur dalam sektor buku terjemahan, ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian:

1. Menjadi penerbit yang spesialis, yakni tentukan dahulu kategori buku apa yang mahu ditekuni. Ini penting bagi branding.

2. Membangunkan tim penterjemah sendiri. Ini penting bagi menjaga kualiti terjemahan dan jadual penerbitan.

3. Menjalin hubungan bisnes yang baik dengan penerbit luar negara. Ini penting bagi mendapatkan lesen dan hak terjemahan.

Pembeli buku-buku terjemahan adalah kelas menengah. Pilih judul-judul yang dibeli oleh anggota kelas ini. Mereka sanggup membayar lebih kerana daya beli mereka tinggi.


(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/site/comments/pasaran_buku_terjemahan_masih_muda/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

--------------------------------------------

Nota:
Artikel ini disiarkan pada hari Isnin 20 Februari 2012.
Sekarang pada tahun 2016, dunia pasaran buku terjemahan sudah jauh berbeza.
Semakin banyak buku terjemahan membanjiri pasaran.
Ini perkembangan yang cukup baik!

---------------------------------------------