Sunday, September 25, 2016

Tip Survival: Penulis Mesti Fikirkan Nasib Bukunya dari Sudut Bisnes

(Artikel asal disiarkan pada tahun 2012)

Zakat bagi royalti yang diterima oleh penulis, penterjemah, pekomik dan ilustrator dari syarikat penerbit jatuh dalam kategori zakat bisnes, yakni zakat perniagaan. Oleh hal yang demikian formula kiraannya berbeza daripada zakat gaji ataupun upah kerja.

Tidak terkecuali adalah zakat royalti dan honorarium yang diterima oleh penulis-penulis yang dilabelkan sebagai 'sasterawan'.

Justeru setiap penulis, baik sasterawan mahupun penterjemah, pekomik dan ilustrator adalah orang bisnes. Makanya mereka perlu mempunyai mindset bisnes apabila berkarya.

Penerbit adalah orang-orang bisnes (kecuali penerbit yang dimiliki oleh pemerintah, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara Malaysia yang gaji mereka dibayar menggunakan wang dari tabung negara).

Dalam dunia bisnes, isu kos, untung dan rugi adalah faktor yang menjadi asas segala keputusan yang mereka ambil sama ada akan menerbitkan sesuatu manuskrip ataupun menolaknya.

Kos minimum bagi menerbitkan, mempromosi dan memasarkan sesebuah buku adalah antara RM15 - RM20 ribu. Jadi, logiklah jika penulis perlu menghasilkan manuskrip yang mendorong mana-mana penerbit berani mengeluarkan wang sebanyak itu bagi menerbitkannya. Apatah lagi wang itu datang daripada pinjaman bank, yang terpaksa dipusingkan, dan kemudian dipulangkan semula kepada bank.

Zaman penulis menulis demi mencari kepuasan sudah berlalu, melainkan apabila penulis mahu menerbitkan sendiri karyanya.

Menulis demi kepuasan emosi tidak membantu apabila seseorang itu mahu hidup sebagai penulis sepenuh masa.

Dalam kehidupan realiti, apabila seseorang penulis itu sudah menikmati 'kepuasan ekonomi' barulah akan ada peluang mendapatkan 'kepuasan emosi'.

(Artikel asal: http://universitipts.com/index.php/tip_survival_penulis_penulis_mesti_fikirkan_nasib_bukunya_dari_sudut_b/)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

No comments:

Post a Comment